Bangkitlah…

Raksasa

Pasrah. Itu sahaja yang dapat aku lafazkan di tika ini. Dan sememangnya itulah yang aku rasakan di saat ini. Perasaan bercelaru. Jiwa bergelora. Minda berkecamuk. Emosi tidak menentu. Argghh. Aku mesti lupakan segala ini. Bukan. Bukan lupakan terus tetapi kurang mengingati dirinya. Agak bodoh diriku ini. Kenapa perlu meratapi perpisahan yang terjadi? Sedangkan si dia tengah berbahagia sekarang ini dengan insan yang dicintainya. Mungkin si dia bergelak sakan apabila mengetahui keadaamku sekarang ini. Entahlah. Luka di jari mudah untuk sembuh tetapi luka di hati sukar untuk disembuhkan. Andainya pulih sekalipun, pasti tertinggalnya parut yang tidak berdarah.

Apa yang telah berlaku benar-benar mematangkan aku. Aku perlu terus memandang ke hadapan. Dan sesekali memandang ke belakang agar menjadi peringatan kepada diriku. Apa yang telah berlalu boleh dijadikan iktibar agar aku tidak mengulanginya lagi di masa hadapan. Hidup perlu diteruskan. Setiap berlaku pasti ada hikmahnya. Itu yang perlu aku dijadikan pegangan hidupku buat masa ini. Agar aku tidak terus hanyut dibuai arus kehidupan. Dan juga tidak jauh tersasar dari landasan yang benar.

Teringat kata-kata seorang temanku. “Kita memang kena jumpa orang yang salah baru jumpa yang betul.” Kesahihan kata-kata itu tidak dapatlah kupastikan. Mungkin temanku itu berbicara di atas pengalaman sendiri. Siapa tahu mungkin ada benar kata-kata tersebut.

“Bukakan kotak mindamu. Bukakan mata hatimu.”
Hati kecilku berbisik. Seolah-olah menyedarkan aku dari lamunan yang panjang. Aku perlu bangkit. Bangkit dari kesuraman hidup. Perlu kembali bersemangat sepertui biasa. Meneruskan hidup seperti sediakala. Tiada gunanya untuk terus menyalahkan diri sendiri dengan apa yang telah berlaku.

Kalau malu, gagal. Kalu segan, sesat. Kalau takut, rugi. Kalau malas, melepas.

P/s : Mungkin ini entryku yang terakhir berbaur emosional. Insyallah entry selepas ini akan lebih santai. Lagipun aku tidak ingin lagi menjadi bahan kutukan Pak Ngah. Peace.

Advertisements

Hari Ini Aku Bersendirian Lagi…

Marah. Bosan. Kesal. Penat. Emosional. Pasrah. Duka. Sedih. Geram. Sensitif. Sunyi. Rindu. Prejudis. Benci. Kecewa. Tragis. Dendam. Sayang. Kabur. Semuanya berlegar-legar di benak mindaku ini. Dan sememangnya itulah yang bermain-main di jiwaku pada saat dan tika ini.

Sukar untuk aku gambarkan gelora perasaan yang melanda diriku dengan luahan kata-kata. Bagaikan sebuah tepian pantai yang dilanda gelora keras sang badai. Dan pastinya pantai tersebut akan berubah megikut alunan badai. Seperti kata bidalan Melayu, “Sekali air bah sekali pantai berubah.”

“Kenapa badai mendatang di kala aku sedang berbahagia memadu kasih bersama insan tersayang?” Hati kecilku selalu berbisik. Bertanyakan persoalan yang aku sendiri tiada jawapannya. Tiada kepastian yang jelas. Namun, aku tidak pernah merasa menyesal kerna semua yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya. Aku perlu redha dengan ketentuan Ilahi yang Maha Berkuasa. Aku hanya insan kerdil yang biasa. Sekadar hanya mampu merancang. Dan segala ketentuan adalah di tangan-Nya.

Tiadakah erti kegembiraan dalam kamus hidupku? Entahlah. Aku pasti diriku akan ketemu sekelumit kegembiraan tidak lama lagi. Mungkin hari ini. Di saat aku menaip entry ini. Dan mungkin juga di hari esok. Ataupun mungkin minggu depan. Bulan depan. Tahun depan. Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Aku perlu kuatkan semangat untuk hadapi kenyatan hidup ini. Itulah asam garam serta lumrah kehidupan di alam fana yang sementara ini.

Seperti sebuah roda kehidupan yang selalu berputar. Kadangkala bisa membuat kita berada di bahagian atas dan suatu saat akan tiba masanya di mana kita menjunam berada di bawah. Entah bila dan bagaimana caranya manusia tidak akan pernah tahu.

Sebagai seorang muslim, aku perlu sedar tentang qada dan qadar. Yupp. Aku sedar semua itu. Biarkanlah semuanya berlalu seiring dengan perjalanan masa. Moga-moga ada sinar cahaya baru menerangi hidupku.

Kehilangan Cinta Hati Bagai Raga Tak Bernyawa..

Emm. Dah lama rasanya aku tidak berbicara tentang cinta. Cinta? Persoalan yang agak menarik untuk dibicarakan bagi sesetengah orang. Lucca D Jiwa? Mungkin ramai yang bertanya kenapa aku menggunakan ‘nickname’ tersebut. Yupp. Hingga saat ini, aku masih belum mendedahkannya kepada sesiapa. Dan tika ini juga aku terasa ingin meluahkannya di sini. Barangkali berkongsi dengan sesiapa yang sudi membacanya.

Seingat aku, saat-saat perkenalan aku dengannya adalah sehari sebelum Hari Valentine. Itu pun atas urusan penghasilan montaj untuk Kolej Tun Fatimah, UTM Skudai. Peristiwa seterusnya tidak perlulah aku ceritakan di sini. Mungkin ada yang meluat nanti. Insyallah, kalau ada rezeki akan kubukukan kisah-kisah percintaanku ini. Haha. Agak aneh bunyinya kan? Persetankan lagi semua itu. Hampir 2 tahun aku bersama dengannya. Suka duka. Pahit manis. Itulah asam garam percintaan yang kami lalui bersama-sama.

Namun, semuanya itu berlalu dengan pantas. Langit tidak selalu cerah. Awan juga tidak selalu mendung. Hubungan yang kami pertahankan selama ini akhirnya retak menanti belah. Aku sedaya upaya cuba menyelamatkan hubungan yang telah lama kukuh terbina. Namun, apakan daya diriku ini. Hubungan itu musnah jua akhirnya. Bagaikan menjadi debu-debu yang berterbangan di angkasa biru.

“Ayg xde jwpn utk soalan abg. Ayg memang menyanyangi abg spnh ati. Tp dgn jujurnye ayg x prnh cintakn abg.. Ayg dh cbe tp x bleh.. Maaf kalo abg kcwe..” Date : 10/11/2005 Time : 11.32.27 AM

Itulah antara SMS terakhir yang aku terima darinya. Mengapa harus menyayangi diriku ini andainya tiada cinta di hatimu? Apakah hubungan yang terjalin selama ini hanyalah mainan dirimu semata-mata? Entahlah. Sukar untuk aku mengerti hati dan perasaan insan yang bernama wanita ini. Pendeta pernah menyatakan, “Air mata wanita mampu mencairkan hati seorang lelaki.” Tetapi, mengapakah air matamu digunakan untuk menghancurkan perasaan serta cinta suciku ini? Katakan pada diriku. Besar sangatkah silapku hingga diri ini ditinggalkan begitu sahaja. Ahh. Kenapa aku harus begini? Menjadi emosional tanpa sempadan. Hentikan semua ini dari membelenggui diriku. Hentikan! Aku tidak perlukan semua itu lagi. Hidup perlu diteruskan walau apapun terjadi. Aku harus tegar menghadapi kenyataan.

Emm. Kenapa aku masih mengingatinya? Entahlah. Sukar untuk aku melupakannya walaupun aku sedar dirinya sedang berbahagia dengan insan yang tersayang. Barangkali itulah penangan cinta pertama. Patah tumbuh, hilang berganti. Mungkin aku perlu berpegang pada kata-kata tersebut. Mencari terus mencari walaupun ada yang berpendapat cinta tidak perlu dicari kerna ianya datang sendiri. Entahlah.

“Mencari cinta sejati bukanlah semudah mencari baju atau seluar di kedai bundle…”

Tag di Bulan Ramadhan…

Akhirnya, Encik Sejuk membalas tag kepadaku. Walaupun nampak simple, ianya amat sukar untuk aku siapkan. Dan kerna itulah aku mengambil masa beberapa hari untuk menyiapkannya. Tajuk tag itu adalah “3 Cara Anda Time Kecik-kecik Dulu Untuk Ponteng Puasa”. Entahlah. Mungkin kerana aku tiada pengalaman dalam bab-bab ponteng puasa ini. Oleh kerana tidak mahu menghampakan permintaan beliau (Sejuk), aku siapkan tag tersebut. Apa yang aku tulis ini mungkin apa yang terlintas di mindaku sewaktu kecil dahulu. Rasanya aku tidak pernah buat kot. Tidak pasti. Lagipun aku sangat skema di waktu kecil-kecil dahulukala.

3 Cara Anda Time Kecik-kecik Dulu Untuk Ponteng Puasa :

1) Time mandi waktu tengahari – Buka shower kuat-kuat diiringi dengan buka mulut luas-luas. Hehehe…

2) Satu lagi time ambil air sembahyang. Sambil berkumur, sambil teguk air paip. Haha. Bukan kenyang pun.

3) Yang ini trick biasa. Buat-buat sakit perut, pening kepala dan sebagainya. Gerenti dapat puasa setengah hari jer.

Oklah. Setakat itu sahaja yang mampu aku tulis. Maafkan aku wahai Encik Sejuk kerna lambat menyiapkan tag ini. Sekian.

Oh ya. Aku tiada idea untuk tag sesiapa. Jadi, sesiapa pun boleh buat tag ini. Babai. Selamat Berbuka Puasa.

Berpuasa Itu Indah…

Sedar-sedar, bulan Ramadhan kembali tiba. Rasanya baru semalam ianya berlalu. Entahlah. Aku dapat rasakan masa kini berlalu dengan pantas. Yupp. Masa itu emas. Dan masa juga tidak akan menunggu kita semua. Jadi, hargailah setiap detik-detik masa yang berlalu. Luangkanlah masa dengan sesuatu yang bermanfaat kepada diri sendiri serta tidak menyusahkan orang lain.

Oklah. Berbalik kepada topik puasa. Aku sedar diriku ini bukanlah baik sangat. Namun, sebagai seorang muslim, aku tidak pernah merasakan puasa ini satu bebanan. Dan aku sedar tentang kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan ini. Sempena bulan yang mulia ini, aku amatlah berharap agar diriku dapat berubah ke arah kebaikan. Hijrah. Ataupun ‘anjakan paradigma’ dalam bahasa saintifiknya. Bak kata pepatah, jadikan hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Insyallah. Tiada yang mustahil dalam dunia ini andainya kita rajin berusaha serta bertawakal kepada-Nya.

“Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. “

Andainya dilihat dari sudut pengertiannya, agak mudah kan? Namun, dari segi pengamalannya, tepuk dada dan tanyalah iman sendiri. Adakah iman kita ini sekental tembok keluli waja atau senipis kulit bawang? Entahlah. Siapalah diriku ini untuk menilai iman seseorang. Bagiku, puasa juga merupakan medan latihan kesabaran serta keikhlasan. Dan juga tidak lupa, sifat bertolak ansur sesama sendiri.

Aku Tiada Kepala

“Tiada telinga untuk mendengar perkara-perkara yang tidak elok atau fitnah. Tiada mata untuk melihat maksiat. Tiada mulut untuk menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia dan daripada bertengkar atau bergaduh.”

Begitulah konsep yang aku cuba sampaikan dalam design pada kali ini. Agak sedikit pelik design aku kali ini. Mungkin masih terpengaruh dengan mood ke’lost’an. Sepertimana yang aku katakan pada temanku, “Alaa… Kepala aku layan lost jap.. Tu yang hilang… Nanti lepas sahur… Dia datang balik laa tu…”

Oklah. Selamat berpuasa kepada semua yang sudi membaca blog ini. Sebarang komen yang membina amatlah dialu-alukan. Sekian. Peace !

Cahaya Karma Di Ufuk Timur…

Cahaya Karma Di Ufuk Timur…

Hingga saat dan detik ini, diriku masih dalam mood ke’lost’an. Pasti mengambil masa yang agak panjang untuk pulih seperti sediakala. Halatuju? Itulah yang masih berlegar-legar di kotak mindaku. Sukar untuk mengenepikannya. Apakah tujuan utama hidup di alam fana ini? Mungkin terlalu banyak pendapat untuk persoalan ini. Masing-masing ada citarasa serta pendirian tersendiri. Terserahlah. Tepuk dada, tanyalah iman. Persoalan ini sukar dibahaskan kerana tiada penghujungnya. Sama seperti persoalan ‘makan’. Makan untuk hidup atau hidup untuk makan? Aku rasa masing-masing ada jawapan tersendiri. Jadi, tidak perlulah diperbangkitkan lagi persoalan-persoalan ini.

Entahlah. Mungkin aku perlu lakukan sesuatu perubahan secara drastik. Sepertimana kata-kata yang diluahkan oleh seorang temanku, “Berfikir terlalu banyak tidak membantu andainya tiada disusuli sebarang tindakan”. Aku akui ada benarnya di sebalik kata-katanya itu. Dalam maknanya. Tersirat serta tersurat. Seperti ada satu dorongan yang kuat untuk aku bertindak sebelum terlewat. Dan juga sebelum aku menyesal di kemudian hari. Agar nasi tidak menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Bak kata orang-orang lama, hidup ini perlukan pengorbanan. Tiada manisnya sebuah kejayaan tanpa kepahitan keringat yang mengalir membasahi bumi. Adakalanya kita terpaksa melepaskan sesuatu yang amat berharga pada diri kita semata-mata untuk mengecapi erti sebuah impian. Impian? Apakah impian aku di kala ini? Menjejak kaki di menara gading. Mungkin itulah jawapan yang terpacul dari mulutku andainya ditanya ketika aku masih di bangku persekolahan. Tapi sekarang? Huh. Pasti aku mengeluh sendirian. Agak keberatan aku untuk menjawab persoalan itu. Seolah-olah aku kehilangan halatuju hidup. Tiada matlamat yang jelas. Kronik. Ahh. Biarkan masa yang menentukannya. Moga-moga perjalanan hidupku sentiasa dirahmati-Nya. Amin.

7 Weird Things About Me!

Jam 3.15 pagi. Itulah waktu yang tertera kaca monitor komputerku pada saat ini. Higga kini aku masih berjaga. Mungkin kerna diriku terlampau penat hingga tidak mampu melelapkan mata. Penat ! Yupp. Memang benar. Seharian aku bekerja hari ini. Masuk kerja pukul 9 pagi hingga pukul 6.00 petang. Then sambung kerja part time catering Mak Jah dari pukul 6.30 petang sampai 11.30 malam. Dan tika inilah baru aku berpeluang melayari dunia siber yang tidak bersempadan ini.

Emm. Sebenarnya aku terasa seperti kebetulan pula. Rupa-rupanya masih ada insan yang sudi men’tag’kan di kala benak mindaku ketandusan idea untuk memblog. Terima kasih Muznaz di atas kesudian beliau men’tag’ diriku yang tidak serba kekurangan ini. Oklah. Tajuk tag kali ini adalah seperti berikut :

7 Weird Things About Me!

1 – Suka memakai t-shirt hitam kerna bagiku ianya sangat cool. Terlalu banyak bilangan t-shirt hitam dalam koleksi pakaianku. Hinggakan diriku pernah ditegur oleh ibu kerna asyik memakai t-shirt hitam. Dan di sini, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah sama sekali terlibat dengan aktiviti-aktiviti Black Metal. Belia Benci Dadah !

2 – Suka mandi pada waktu malam dalam tempoh masa yang agak lama. Cari ilham kot.

3 – Suka pada kegelapan kerna bagiku ianya sungguh mendamaikan. Kegelapanlah yang dapat membantu tubuh kita tidur dengan nyenyak. Dan tidak lupa selimut hitam yang menjadi faktor pemangkin tidur lenaku.

4 – Suka berimaginasi sepanjang hari tanpa mengira masa serta tempat. Layankan sahaja apa-apa yang berlegar-legar di ruangan minda separa sedar ini. Adakalanya berguna. Dan adakalanya tidak. Gunakan akal yang waras untuk tentukannya.

5 – Suka kumpul tiket-tiket seperti tiket wayang @ tiket bas serta kad-kad prepaid. Dan tidak ketinggalan juga resit-resit dari mesin ATM. Entahlah. Aku pun tidak pasti kenapa aku berbuat demikian.

6- Suka modifikasi barang-barang persendirian seperti komputer, kereta, motor dan handphone. Mungkin kerna aku inginkan kelainan serta identiti tersendiri.

7 – Suka buat design tanpa halatuju @ konsep yang jelas. Kebanyakan design yang aku buat adalah secara spontan. Kebanyakan berdasarkan pada kehidupan aku sendiri. Yupp. Kehidupan ini pasti ada turun serta naiknya. Itulah hakikat roda kehidupan yang perlu kita tempuhi dengan tabah.

Oklah. Rasanya dah cukup 7. Pasti aku dicop mengada-ngada andainya aku buat lebih dari itu. Betul kan? Dan sekarang, tibalah masa untuk aku tag 7 manusia pelik (ataupun boleh dikatakan bertuah) iaitu:

1 – Pak Ngah
2 – Ajurina
3 – Sankai
4 – Hariz
5 – Azrul
6 – Sejuk
7 – Tongah

Sekian. Terima kasih daun keladi.