Adaptasi Dari Kehidupan Seorang Lelaki…

Ya. Aku cuba menulis. Menulis dari pandangan kaca mata seorang lelaki. Bagiku, realiti itu sesuatu yg sukar ditelan tapi mudah untuk diluahkan. Sama seperti kata-kata cinta. Di sini, aku cuba kaitkan cinta dengan kehidupan seorang lelaki. Ramai lelaki malu untuk memperkatakan tentang cinta. Bukan malu sebenarnya tetapi lebih kepada sifat keegoan dalam diri sendiri. Ya. Perkataan ‘ego’ lebih sesuai digunakan. Ego untuk meluahkan perasaan yang terbuku dalam hati sendiri. Kebanyakan lelaki begitu tetapi tidak bermaksud kesemua lelaki bersifat sedemikian. Malah, ada sesetengah orang meluahkan rasa cinta kepada seorang wanita melalui lagu. Search dengan lagu ‘Isabella’nya. Kris dengan ‘Tiara’. Exists dengan ‘Jesnita’. Mega dengan ‘Nina Karina’. Cukuplah sekadar menyebut beberapa contoh. Dan rasanya banyak lagi. Jadi, aku perlu buang sifat ego itu. Usirkan sahaja ego itu dari diri ini. Agar ianya tidak terus bersarang di hati. Dan tidak perlulah menjadi hipokrit. Menipu diri sendiri demi mempertahankan ego. Kita dijadikan berpasang-pasangan. Jadi, luahkan rasa sayang pada orang tersayang. Cetuskan rasa rindu. Sebarkan rasa cinta.

Cinta dari perspektif lelaki adalah berbeza dengan wanita. Ya. Setiap individu berbeza citarasa. Dan kecantikan seorang wanita itu adalah sesuatu yang subjektif. Ada yang suka pada rupa paras. Ada yang memandang budi pekerti. Ada yang suka pada bentuk badan yang seksi. Dan tidak kurang juga memandang darjat serta harta benda. Entahlah. Tepuk dada, tanyalah iman sendiri. Buatlah pilihan yang tepat dan bersesuai dengan jiwa sendiri agar tidak menyesal di kemudian hari. Ingatlah. Seorang lelaki sepatutnya melakukan apa yang patut dilakukannya. Sekadar satu pesanan ringkas untuk diri sendiri. Pesanan ringkas sewaktu aku masih mampu berfikiran waras.

Bercinta itu tidak salah. Tetapi janganlah terlalu obses dengan cinta. Hingga sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerna cinta. Sanggup mengalirkan air mata berhari-hari kerna gagal dalam bercinta. Sanggup menggadaikan maruah demi cinta. Dan pelbagai lagi kesanggupan dalam mengejar erti sebuah percintaan. “Cinta hanyalah cinta… Hidup dan mati untukku…” Itulah petikan ungkapan dalam sebuah lagu yang bertajuk ‘Tentang Seseorang’. Salah satu lagu dari soundtrack filem ‘Ada Apa Dengan Cinta’ yang cukup aku minati. Agak drastik lirik lagu itu. Terlalu memuja cinta. Cinta sesama manusia. Sebagai seorang Muslim, cinta kepada Allah S.W.T. adalah yang paling utama dan perlu didahulukan.

Aku berharap agar cinta dapat memberikan aku sepasang sayap. Sepasang sayap yang mampu membawa aku berterbangan di udara. Merentasi fantasi diri sendiri yang seluas lautan biru. Fantasi yang tidak terjangkau oleh imaginasi sendiri. Dan mungkin fantasi yang tercipta dari minda separa sedar. Aku sedar. Risiko kepatahan sayap tetap ada. Kemungkinan yang tidak terjangka. Janganlah terbang andainya takut jatuh ke bumi. Dan tidak usahlah belajar terbang andainya tiada sepasang sayap ataupun kepak. Dan ingatlah, membuka minda untuk menimba pengalaman baru adalah salah satu proses untuk menjadi lebih matang.

Dan kepada teman-teman blogger yang ingin berhenti dari arena pemblogging, ini satu nasihatku. Mungkin juga nasihat untuk diriku sendiri. Berehatlah seketika. Biarkan perkara yang merungsingkan jiwa pergi. Dan andainya keadaan kembali tenang, kembalilah menaip. Menaip dengan seikhlas-ikhlasnya. Sepertimana kata-kataku sebelum ini. Keluarkan segala perasaan yang terbuku di hati selama ini. Agar ianya tidak terus bersarang di hati. Tulislah apa-apa yang terbit dari hati nurani selagi ianya tidak bercanggah dengan agama. Dan juga tidak menyentuh isu-isu sensitiviti masyarakat setempat.

Emm. Cukuplah setakat itu kehidupan dari kacamata seorang lelaki. Dan secara tidak semena-mena, teringin pula hendak mengetahui erti kehidupan dari perspektif seorang wanita. Jadi, kepada wanita di luar sana yang membaca blog ini. Ada tak sesiapa yang berani sahut cabaran ini? Cabaran menulis berkenaan kehidupan seorang wanita.

Tidak faham apa yang aku cuba perkatakan di sini? Kalau tidak faham, tidak mengapalah. Mungkin kesilapan diri ini. Abaikan sahaja. Dan lupakanlah. Anggaplah ini hanya bebelanku di kala masa lapang yang terluang. Sekadar hiburan kepada diri sendiri. Tamat.

Experimentasi Dari Jiwa Kacau…

Jiwa kacau lagi? Haha. Sebenarnya aku sengaja menamakan tajuk entry sebegitu. Walhal tiada kaitan pun dengan isi kandungannya. Aku pun sudah tidak mahu menggunakan perkataan ‘jiwa kosong’ lagi. Kerna dikhuatiri membawa maksud yang berlainan. Yup. Kadangkala sesuatu perkara yang cuba kita perkatakan membawa pengertian yang berbeza kepada individu yang berlainan. Sepertimana kata-kata pepatah Melayu. Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain. Teringat kata-kata yang pernah aku luahkan pada seorang teman blogger. Luahkan segala rasa tidak puas hati di blog sendiri agar ianya tidak bersarang di hati. Aku pun tidak ingat bagaimana tercetusnya kata-kata itu. Secara spontan agaknya. Berbalik kepada ‘jiwa kosong’ tadi. Berdasarkan pada pengertianku sendiri, jiwa yang kosong adalah jiwa tanpa emosi. Aku berkata-kata sedemikian kerna bagiku emosi itu adalah salah satu keperluan jiwa setiap insan normal yang hidup di muka bumi ini. Dan secara tidak semena-mena, aku teringat kata-kata saudari Aria Ayumi. “Emosi satu keperluan jiwa, emosi satu makanan jiwa”. Mudah dan tepat. Lupakan persoalan ‘jiwa kosong’ itu. Biarlah ia habis di situ sahaja.

Pada tika dan saat ini,  terasa jiwaku lebih tenang serta stabil berbanding semasa kehidupanku di Johor Bahru. Bukanlah aku cuba membandingkan Johor Bahru dan Kuala Terengganu ini. Cuma sekadar meluahkan emosi sendiri. Luahan rasa jiwa barangkali. Walaupun pahit untuk diluahkan dengan kata-kata, namun itulah realiti yang aku hadapi selama ini. Realiti kehidupan yang pernah serta perlu aku tempuhi. Asam garam kehidupan yang penuh dengan pancaroba tersendiri. Syukurlah ke hadrat-Nya kerna hingga saat ini kita semua masih bernyawa. Hayati setiap detik hembusan nafas dengan penuh kesyukuran. Moga-moga kita semua dirahmati-Nya.

Sedar tidak sedar, rupa-rupanya sudah hampir 7 tahun aku menetap di Johor Bahru. Kenangan di sana masih segar terpahat di mindaku. Seingat aku, umur remajaku baru mencecah 18 tahun ketika aku mula-mula menjejak kaki ke sana. Masih mentah dan belum memahami selok-belok kehidupan secara mendalam. Seiring dengan peningkatan usia, semakin bertambah ilmu serta pengalaman yang ditimba dari sehari ke sehari. Aku mula belajar mengenal erti sebuah kehidupan. Kehidupan yang sukar untuk aku fahami sebelum ini. Aku juga mulai menghargai setiap apa yang berlaku. Kenangan pahit manis juga silih berganti menerjah ke dalam ingatan ini selama merantau di selatan tanahair itu. Semua itu benar-benar mematangkan diriku ini. Dan kini, setelah umurku mencecah suku abad, barulah tergerak hatiku untuk kembali ke kampung halaman. Ya. Kembali untuk berkhidmat di negeri kelahiran. Negeri Terengganu yang tecinta.

Dan hari ini, genaplah sebulan aku berada di Terengganu. Jiwaku terasa benar-benar tenang. Bagaikan tiada masalah yang menjengah hidupku. Jikalau adapun, sekadar masalah-masalah kecil. Masalah yang biasa dialami oleh semua orang. Berlainan sekali dengan kehidupanku di Johor. Kusut. Dan seolah-olah hilang arah tuju. Kerjayaku silih berganti. Tempat berteduh juga saling berubah. Dan percintaanku menemui jalan buntu. Jadi, haruskah aku terus bertahan di sana? Mungkin ada yang mampu. Bagiku, cukuplah apa yang telah aku tempuhi. Lantas, aku bertekad untuk berevolusi. Ya. Revolusi ke arah kehidupan yang lebih baik. Itulah revolusi yang aku canang-canangkan selama ini.

Secara jujurnya, aku mulai suka dengan suasana serta persekitaran di Terengganu ini. Terlalu banyak perubahan yang berlaku. Perubahan yang drastik. Mungkin berlaku di era pemerintahan Gelombang Biru. Entahlah. Aku tidak mahu menyentuh isu-isu berkaitan politik di sini. Biarlah orang-orang yang lebih arif berkata-kata mengenainya. Cuma yang pasti, tunaikan kewajipan mengundi apabila pilihanraya tiba. Ya. Kewajiban sebagai warganegara Malaysia tanpa mengira umur, darjat, kaum, agama dan bahasa.

Bercerita berkenaan pembangunan Terengganu, ternyatalah pelbagai kemajuan telah dikecapi berbanding 7 tahun yang lalu. Tempoh 7 tahun sewaktu aku merantau nun jauh di selatan Semenanjung. Antaranya, dua buah pasaraya besar yang gah berdiri bersebelahan iaitu Giant serta Mydin. Dan kewujudan restoren-restoren makanan segera seperti KFC, McDonald, Pizza Hut, Chicken Rice Shop, Mama Chop Papa Grill, Secret Recipe serta A&W. Selain itu, acara tahunan iaitu Monsoon Cup juga telah merancakkan lagi industri pelancongan yang sedia ada di sini. Dan tidak lupa kepada pembinaan Masjid Kristal serta Masjid Terapung yang benar-benar mengagumkan. Hiburan seperti karaoke, futsal serta bowling juga sudah tidak asing di sini. Pendek kata, semuanya sudah ada di sini. Hanya wayang sahaja belum ada untuk mencukupkan hiburan di negeri ini. Hiburan duniawi.

Dan seandainya dikaitkan dengan hiburan, isu keruntuhan akhlak serta masalah sosial pasti akan diperkatakan. Entahlah. Bagiku, itulah suatu pengorbanan yang berlaku demi untuk mencapai kemajuan pembangunan sesebuah tamadun. Ya. Harga sebuah pengorbanan. Andainya diimbas kembali negeri Terengganu pada 10 tahun yang lepas, agak sukar mencari seorang anak dara yang berpakaian menjolok mata serta tidak memakai tudung. Namun, cuba lihat negeri ini sekarang. Berkunjung sahaja ke Mydin Mall ataupun Giant, pasti mata ini akan terlihat gadis-gadis agak ke’Barat’an sedikit. Bertudung tetapi berpakaian ketat. Ataupun berbaju kurung tetapi tidak bertudung. Itu hanya sekadar beberapa contoh. Banyak lagi rasanya. Dan di sini, ingin aku perjelaskan, tulisanku kali ini tidak berniat untuk membidas sesiapa atau mana-mana pihak sekalipun. Cuma sekadar untuk kesedaran serta renungan diri sendiri. Aku sedar, tanpa pegangan agama, aku pasti rebah ke bumi. Tewas dalam dugaan duniawi yang semakin mencabar. Serta hanyut dalam keasyikan hiburan dunia semata-mata. Ya Allah. Lindungilah hambamu yang lemah ini. Amin.

P/s: Maaflah andainya entry kali ini seolah-olah membangga-banggakan negeriku sendiri. Rasanya tidak salah andainya anak jati hendak berbangga dengan tempat tumpahnya darah. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Di kesempatan yang terluang ini, aku memohon jutaan kemaafan andainya ada pihak yang tersinggung dengan coretan nukilan aku kali ini. Mohon ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Dan terima kasih juag kerna sudi membaca hingga ke penghabisannya.

Sehangat Peluh Jantan…

Sehangat

Peluh jantan? Pasti ada yang bertanya kenapa peluh jantan digunakan. Dan bukannya peluh sebaliknya. Seolah-olah ada diskriminasi jantina di sini. Cuba fikir sejenak. Andainya perkataan ‘peluh betina’ digunakan, apa reaksi yang bakal aku perolehi. Entahlah. Agak kasar bunyinya. Malah kurang sopan serta tidak mencerminkan ciri-ciri adat ketimuran. Dan sememangnya aku tidak gemar menggunakan kata-kata kesat dalam penulisanku. Lantaklah andainya ada yang mengatakan aku hipokrit. Aku tidak pedulikan semua itu. Biarlah aku tidak tampak ‘macho’ atau bergaya kerna tidak menggunakan kata-kata kesat. Biarkan aku begini. Menulis dengan corak penulisan yang aku gemari. Lagipun, banyak lagi cara untuk melempiaskan kemarahan ataupun ke’tidakpuashati’an kita ini selain mengeluarkan kata-kata kesat.

“Orang lain sudah ke bulan, takkan kita masih dalam tempayan”
~ Aboi

Itu adalah petikan lirik lagu ‘Cakap Cakap Cakap’ yang didendangkan oleh kumpulan Aboi. Susunan ayat yang ‘simple’ tetapi agak mendalam maksudnya. Secara tidak langsung, lagu ini boleh dikaitkan dengan kejayaan Angkawasan Negara. Aku tertarik dengan satu petikan dalam perbahasan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang baru sahaja berlalu. Bunyi petikan tersebut lebih kurang seperti ini:

“Apabila seseorang yang naik ke angkasa maka secara automatiknya dia akan digelar sebagai angkasawan. Tetapi perkataan ‘angkasawan’ ini tidak boleh disamakan dengan gabungan 2 perkataan iaitu ‘angka + sawan’. Angka ialah nombor manakala sawan adalah penyakit. Jadi perkataan ‘angka+sawan’ mungkin membawa maksud yang kurang elok andainya dibandingkan dengan perkataan angkawasan.”

Sinis kan? Aku pun sudah lupa individu yang mengeluarkan kata-kata tersebut. Agaknya, mungkin beliau sekadar berseloroh tatkala mengeluarkan kata-kata tersebut. Susulan kejayaan Program Angkasawan tersebut, pelbagai istilah baru dikeluarkan. Antaranya;

Bangsa Angkasa atau ‘space nation’
– Bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi serta tamadun yang hebat.

Mengangkasa
Satu pencapaian setinggi mungkin yang dijadikan wawasan, impian dan cita-cita.
– Menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sudah ada ke tahap lebih tinggi
– Melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti pada satu masa nanti.

Agak menarik kan? Mungkin kita tidak pernah terfikir untuk menggunakan perkataan tersebut sebelum ini. Malah, mungkin jua perkataan-perkataan ini tidak pernah terlintas dalam kotak pemikiran kita selama ini. Mungkin.

“Setitis keringat yang mengalir melalui liang-liang roma adalah harga sebuah usaha.”

Aku masih teringat kata-kata tesebut. Kata-kata yang diluahkan oleh seorang temanku pada suatu ketika dahulu. Kata-kata yang mampu membangkitkan kecekalan hatiku untuk berjaya. Teman, terima kasih di atas kata-katamu itu.

“Bukan senang hendak tenang tetapi apabila tenang pasti akan senang.”

Satu lagi kata-kata pembakar semangatku. Aku sudah lupa di mana diriku memperolehi kata-kata tersebut. Mungkin mudah untuk meluahkannya dengan kata-kata. Namun, untuk merealisasikannya pasti memerlukan seribu satu keazaman serta usaha yang tidak mengenal erti putus asa. Dan aku akhiri entry kali ini dengan satu konsep kehidupan yang pernah aku pelajari satu ketika dahulu. Satu konsep kehidupan yang agak menarik bagiku.

Permata. Walaupun bertahun-tahun lamanya berada dalam lumpur, ianya tetap ada sinarnya. Berbeza dengan tahi. Sekalipun berada dalam pinggan kristal yang bertatahkan berlian, ianya tetap berbau busuk buat selama-lamanya.”

Mimpi ~ Fantasi Minda Separa Sedar…

Setelah melepasi pagar batu yang berlumut, aku berdiri benar-benar di hadapan pintu rumah. Ya. Pintu sebuah rumah. Rumah yang tersergam indah di atas bukit. Masih kukuh berdiri walaupun sudah berabad terbina di sana. Sayang sekali. Rumah yang sebegitu besar serta indah itu tidak berpenghuni. Ditinggalkan serta dibiarkan usang begitu sahaja. Mungkin akan mereput ditelan anai-anai. Hanya menanti masa untuk rebah menyembah bumi.

Aku pun tidak pasti mengapa diriku berada di sini. Seingat aku, aku hanya berkira-kira untuk menjenguk rumah ini pada petang tadi. Kononnya rumah ini berpuaka. Entahlah. Aku sendiri pun tidak pasti kebenarannya. Hanya mendengar kisah karut tersebut dari mulut-mulut orang kampung. Jadi, untuk membuktikan kesahihan kisah karut ini, aku telah bersepakat dengan seorang lagi rakan untuk menyiasat rumah berpuaka ini pada malam esok. Kami benar-benar nekad untuk melakukannya walaupun ada sedikit kegentaran di jiwa ini.

Dan pada saat ini, aku telah mungkiri janji dengan rakanku itu. Aku datang sendirian pada malam ini. Dan bukannya pada malam esok sepertimana yang telah dijanjikan. Entahlah. Seolah-olah ada satu tarikan yang membawa aku ke sini. Sayup-sayup kedengaran suara halus memanggil namaku agar segera datang ke rumah usang ini. Terasa seperti diri ini dipukau oleh sesuatu yang aku sendiri tidak pasti. Ada sesuatu yang perlu diselesaikan di rumah yang penuh misteri ini.

Setelah beberapa detik berlalu, aku masih tercegat di muka pintu rumah itu. Aku cuba gagahi untuk memasuki rumah tersebut walaupun ada sedikit kegusaran di jiwa. Ah. Persetankan apa yang akan terjadi. Berani buat, beranilah tanggung risikonya. Hati kecilku berbisik. Tanpa membuang masa, aku terus melangkah kaki kananku. Menjengah ke dalam kesuraman rumah tersebut. Bunyi papan-papan lantai yang berkeriut sedikit sebanyak menambah suasana keseraman yang sedia ada. Aku terus memberanikan diri untuk melangkah lebih dalam. Habuk serta debu meliputi hampir keseluruhan isi rumah itu. Berpandukan naluri sendiri, aku terus menuju ke arah tangga. Gerak hatiku seolah-olah mengarahkan diriku untuk menyiasat di tingkat atas.

Sewaktu melangkah menaiki anak-anak tangga rumah tersebut, aku terasa seperti ada sesuatu yang mengekori belakangku. Kaget. Aku cuba menoleh ke belakangku. Namun, tiada apa-apa. Mungkin hanya mainan perasaanku sahaja. Ah. Biarkan. Aku terus melangkah. Terdapat perkara yang lebih penting perlu diselesaikan secepat mungkin. Bagiku masa itu emas. Masa itu emas? Masih rasionalkah pepatah itu digunakan di zaman siber ini? Entahlah.

Dumm ! Bunyi hempasan jendela benar-benar mengejutkan lamunanku. Peluh dingin membasahi seluruh badanku. Rupa-rupanya, aku bermimpi di petang hari. Ah. Siapalah yang menutup jendela sebegitu kuat hingga mengganggu tidur lenaku? Jerit hati kecilku. Terasa sedikit kecewa. Bermimpi sesuatu yang tiada kesudahannya. Keadaan ini samalah seperti melihat wayang gambar ataupun filem yang tiada kesudahannya. Seperti filem ‘The Never Ending Story’. Yup. Ada nada kegeraman di sini. Hanya sedikit geram. Tetapi bukannya emosional.

Huh. Itu baru intronya. Intro untuk entry kali ini. Maaflah. Aku sendiri tidak pasti kenapa intro kali ini agak panjang. Mungkin syok sendiri telah menguasai diriku. Ada sesiapa yang sudi melepaskan diriku dari belenggu syok sendiri ini? Nanti aku bagi upahnya. Mungkin upah yang tidak seberapa. Cukuplah sekadar untuk membeli sesuap rezeki. Haha.

Oklah. Sebagai makhluk yang bernama manusia, kita pasti tidak akan terlepas dari mengalami mimpi. Mungkin agak mustahil andainya seseorang itu tidak pernah mengalami mimpi. Jikalau ada pun, pastilah dia mengalami Insomnia. Iaitu penyakit sukar melelapkan mata. Ataupun dalam kajian sains perubatannya; Insomnia ini merujuk kepada masalah untuk tidur yang mengakibatkan pengidapnya tidak memperolehi tidur yang mencukupi ataupun tidur yang tidak berkualiti. Oh. Aku melalut lagi. Maafkan aku sekali lagi.

Lupakan persoalan Insomnia di sini. Untuk entry kali ini, aku mahu tekankan persoalan berkaitan mimpi. Ya. Mimpi.

Mimpi adalah pengalaman bawah sadar yang melibatkan penglihatan, pendengaran, pikiran, perasaan dan indra-indra lain dalam tidur. Kejadian dalam mimpi biasanya mustahil terjadi dalam dunia nyata, dan di luar kuasa pemimpi. Pemimpi juga dapat merasakan emosi ketika bermimpi, misalnya emosi takut dalam mimpi buruk. Ilmu yang mempelajari mimpi disebut oneirologi. ~ Wikipedia Indonesia

Definasi di atas diperolehi dari Wikipedia Indonesia. Sebuah ensiklopedia bebas berbahasa Indonesia. Cuma versi definasi ini telah aku ringkaskan sedikit berbanding versi asalnya. Sebenarnya, aku cuba mencari definasi mimpi ini dalam Wikipedia Malaysia. Namun, pencarian tersebut menemui jalan buntu. Hampa. Mungkin ada sesiapa yang di luar sana mampu memberi definasi mimpi ini dengan lebih mendalam serta terperinci. Aku tidak layak untuk berbuat demikian kerna diriku ini bukanlah pakar bahasa. Sekadar mampu meringkaskan definasi yang sedia ada.

Dari konteks pemikiranku, mimpi terjadi apabila minda tidak lagi berasimilasi dengan badan sepenuhnya. Secara mudahnya, ianya terjadi apabila minda kita berada dalam keadaan separa sedar. Bagiku, bermimpi adalah perbuatan ikhlas yang kita lakukan. Tiada paksaan dalam melakukannya. Samalah seperti proses perkumuhan. Cuma bezanya, bermimpi dilakukan secara tidak sedar manakala proses perkumuhan berlaku semasa kita dalam keadaan sedar. Yup. Dua perbuatan yang hampir sama. Cuma cara perlakuannya sahaja yang berbeza.

Ramai yang berkata mimpi itu mainan tidur. Dan tidak kurang juga yang mengelarkannya sebagai sebuah fantasi. Ya. Fantasi minda separa sedar. Namun, yang pastinya sesetengah mimpi ini membawa alamat tertentu. Maknanya, terdapat tafsiran maksud di sebalik mimpi tersebut. Tafsiran mimpi? Satu lagi ilmu yang aku ingin pelajari. Siapalah agaknya yang sudi menurunkan ilmu tafsiran mimpi ini kepadaku? Oklah. Jari-jemariku sudah agak lemah meneruskan proses coretan ini. Mindaku juga beransur-ansur menjadi lesu. Mungkin diriku akan terlelap lantas tidur nyenyak selepas ini. Dan tidak mustahil diriku akan terserempak dengan fantasi minda separa sedar. Iaitu mimpi. Oh. Mimpi yang indah. Datanglah kepadaku. Aku amat merinduimu.

P/s : Jutaan terima kasih kepada Encik Tongah di atas ambigram yang dibuat khas untukku. Sebuah ambigram dengan tafsirannya yang tersendiri. Cahaya matahari dalam ambigram itu mengambarkan cahaya yang akan sentiasa menerangi kehidupanku. Amin. Sekali lagi kulafazkan terima kasih. Penat lelahmu itu pasti kuhargai dengan penuh keikhlasan.

Ambigram Lucca D Jiwa

Defragmentasi Minda…

Defragmentasi Minda

Ilham entry kali tercetus ketika aku asyik membaca sebuah nukilan blog Azrul Angkawasan. Membaca blog? Mungkin perkataan ‘menelaah blog’ lebih sesuai. Dan sepastinya aku sudah memohon keizinan saudara Azrul untuk membuat kesinambungan entry ‘Defragmentasi Minda’ ini. Kesinambungan dalam versi aku yang tersendiri. Jadi, tiadalah timbul isu ciplak di sini. Agak aneh rasanya apabila ada orang sanggup meniru entry blog Azrul. Meniru bulat-bulat tanpa sebarang ubahsuai. Entahlah. Di manakah kepuasan memblog andainya menceduk hasil kerja orang lain? Ahh. Persetankanlah semua itu.

Perjalanan hidup ini bagaikan dilakarkan seperti sebuah pelangi. Tujuh warna di dalamnya seolah-olah gambaran kasar kepada corak kehidupan. Ya. Corak warna kehidupan yang aku gambarkan mengikut naluri serta intuisi aku sendiri. Jadi, terpulanglah untuk bersetuju atau tidak kerna ianya hanyalah luahan minda separa sedar seorang makhluk yang bernama ‘manusia’.

Warna merah lambang saat-saat kesusahan.
Oren melambangkan keceriaan serta kegembiraan hidup.
Kuning pula lambang persahabatan yang tulus ikhlas.
Hijau boleh dikaitkan dengan hubungan kekeluargaan.
Biru melambangkan kisah-kisah percintaan yang berlalu.
Indigo pula mungkin sesuai dengan keajaiban serta keanehan yang terjadi.
Ungu pula sebagai tanda kenormalan hidup.

Dan tambahan dua warna yang aku rasa cukup penting dalam melengkapkan pola warna kehidupan. Putih dan hitam. Dua warna yang saling melengkapi antara satu sama lain. Seperti yang digambarkan dengan simbol Ying Yang.

Putih lambang kesetiaan.
Hitam tanda kesunyian serta kekecewaan yang melanda jiwa ini.

Ok. Lupakan seketika makna warna-warna tersebut. Ideaku hanya tamat di situ. Mungkin tiada lagi ulasan lanjut mengenainya. Ataupun sambungan entry mengenainya. Seolah-olah ada sekatan minda. Mungkinkah penyelidikan perlu dilakukan oleh mereka yang lebih arif mengenainya? Ya. Mungkin penyelidikan seorang pensyarah. Ataupun mungkin kajian dari pakar motivasi. Entahlah. Biarlah peredaran masa yang menentukannya.

Sepertimana yang umum ketahui, kenangan silam mampu hadir secara tiba-tiba. Tidak terduga sama sekali. Ianya hadir seumpama putaran roll filem wayang. Berputar tanpa kita mengetahui kesudahannya. Dan tanpa disedari, mungkin kita akan tersenyum sendiri apabila mengenangnya. Tidak kisahlah sama ada kenangan manis ataupun pahit. Sesetengah kenangan ataupun memori ini sukar untuk dilupakan. Lebih-lebih lagi jika ianya berkait rapat dengan diri sendiri. Ada yang gemar bercerita kepada orang lain bagaikan lagak sang ayam jantan. Bertelur sebiji, riuh sekampung. Ada juga yang menyimpan memori tanpa berkongsi dengan orang lain. Sepertimana lagak sang penyu. Diam-diam, bertelur seribu. Noktah.

Beralih kepada topik lain. Jiwa yang kosong? Pernahkah kita merasainya. Mungkin ya. Mungkin juga tidak. Semuanya bergantung pada individu sendiri. Pelbagai cara boleh mengisi kekosongan di jiwa. Tidak perlulah kita menjadi seperti angkawasan negara Dr. Sheikh Muszaphar yang menemui sesuatu yang mampu mengisi kekosongan jiwanya di angkasa. Soul searching? Mungkin itulah yang beliau maksudkan. Dan bagaimana dengan diriku? Hingga saat dan tika ini masih lagi merangkak-rangkak mencari erti sebuah kehidupan. Dan kadangkala masih tertanya-tanya makna sebuah kebahagiaan. Entahlah. Masa pantas berlalu. Kadangkala kita hampir tidak terdaya untuk mengikut rentak peredaran masa. Terlalu sukar bagiku. Ada yang kata kita perlu berani ambil risiko. Berani buat, beranilah tanggung. Cakap itu memang senang. Tetapi untuk melakukannya perlu tekad serta nekad sepenuh hati. Yup. Nekad dan tekad. Kehidupan mesti diteruskan. Itu yang penting.

P/s : Buat pertama kalinya, blog ini telah dinodai dengan carutan seorang gadis 17 tahun dari Indonesia. Entry yang menjadi mangsa keadaan adalah entry “Aku Pun Mau Emo”. Kebahangan serta kebingitan di telingaku masih terasa hingga saat ini. Entahlah. Aku pun tidak pasti apakah masalah si gadis ini. Sudahlah datang tidak berjemput. Alih-alih terus mencarut tanpa usul periksa. Hendak bagi salam jauhlah sekali. Inikah adat ketimuran gadis dari seberang?

Di Sebalik Makna Sekuntum Bunga…

Untuk entry kali ini, aku mahu lupakan seketika tentang revolusi. Hanya lupakan seketika. Dan bukannya bermakna melupakan selama-lamanya. Pasti aku akan berbicara lagi mengenai revolusi andainya ilham ataupun idea datang menjelma. Lagipun aku tidak suka berbicara mengenai perkara yang sama berulangkali. Pasti ada yang muak pabila membaca perkara yang sama. Biarlah entry ini menjadi entry selingan bagi entry-entry terdahulu. Aku tidak kisah andainya ada yang mengatakan blog ini ‘caca-marba’ atau tiada ‘niche’ yang tetap. Sepertimana yang telah kukatakan sebelum ini, aku menulis hanya untuk kepuasan diri sendiri. Dan aku amat menghargai segala komen atau kritikan yang diberikan untuk setiap entry dalam blog ini.

Untuk kali ini, aku ingin berkongsi info berkenaan bunga. Bunga seringkali dikaitkan dengan insan bernama ‘wanita’. Contohnya, “Menyunting Bunga Di Taman” yang bermaksud merisik anak gadis untuk dijadikan calon isteri. Itu hanyalah sekadar satu contoh yang menjadikan bunga itu sebagai simbol seorang wanita. Rasanya banyak lagi bidalan bahasa yang mengaitkan wanita dengan bunga ini. Jadi, tidak perlulah aku menghuraikan secara panjang lebar di sini. Oklah. Di bawah ini ada serba sedikit info berkenaan maksud yang tersirat di sebalik sekuntum bunga. Info ini diperolehi dari klienku untuk dimasukkan dalam web FlowerHub.

Lily Stargazer (Pink) – I See Heaven In Your Eyes
Lily White – Pure And Innocent Love
Lily Yellow – Live For The Moment
Lily Orange – Honoured Love, Respected Love

Rose Champange – You’re Tender And Loving
Rose Orange – You’re My Secret Love
Rose Pink – I Declare My Love Openly To You
Rose Red – Passionately In Love
Rose White – I’m Worthy Of You, High Spirited Pure Love

Melalui info yang diberikan ini, aku pasti kita semua mendapat sedikit gambaran mengenai bunga. Jadi, pilihlah bunga yang bersesuaian untuk dihadiahkan buat insan yang teristimewa. Semoga kita semua sentiasa berbahagia dan mendapat keredhaan-Nya. Amin.

P/s: Oh ya. Sebelum aku terlupa, ingin kulafazkan ribuan terima kasih kepada Cik Aria Ayumi kerna sudi memberi award kepada blogku yang seberapa ini. Award yang diberikan itu benar-benar menaikkan motivasi diriku untuk berblog dengan lebih kreatif dan kritis. Lain kali, buatlah lagi. Dan jangan lupa sediakan hadiah-hadiah yang menarik. Hehe.