Wujudkah Bintang Bertuah…

Aku masih tidak mengerti. Keliru. Wujudkah Bintang Bertuah? Ya. Bintang Bertuah atau lebih dikenali sebagai ‘Lucky Star’ dalam Bahasa Inggerisnya. Entahlah. Aku cuba kaitkannya dengan kedatangan tahun baru ini. Tahun baru yang seringkali dikaitkan dengan azam baru. Azam baru untuk tahun baru. Tahun Baru = Azam Baru. Satu lagi persamaan yang cuba aku cipta. Persamaan yang berlandaskan hipotesis yang tidak kukuh. Yang pastinya, persamaan ini bukanlah persamaan kuadratik. Ataupun persamaan linear yang kalian semua belajar di institut pengajian tinggi. Oh ya. Aku tidak layak untuk berbicara tentang matematik. Aku tidak mahir dalam bidang itu. Semasa belajar dulu-dulu pun, aku sekadar budak hingusan yang meraih simpati pensyarah untuk lulus dalam subjek matematik. Huh. Subjek yang membosankan. Kalkulus, Algebra, Matematik Asas, Statistik serta Persamaan Terbitan adalah antara subjek matematik yang pernah aku pelajari satu ketika dahulu. Bertungkus-lumus belajar semata-mata untuk lulus. Entahlah. Kerjayaku sekarang ini sudah tidak memerlukan semua itu lagi. Tidak mengapalah. Lagipun, sudah banyak rumus atau teorem yang aku lupakan.

Berbalik kepada azam baru tadi. Aku pasti ramai yang berlumba-lumba untuk membuat azam tahun baru. Aku tidak kisah semua itu. Itukan hak peribadi masing-masing. Lagipun, aku juga tidak terlepas dari membuat azam baru. Aku memang begitu. Beriya-iya membuat azam baru saban tahun. Sedangkan azam tahun baru sebelum ini pun belum tentu semua yang tercapai. Entahlah. Mungkinkah ini tabiat seorang insan biasa yang terlalu mengikut rentak arus masyarakat majoriti. Biarlah. Janji aku selesa dengan apa yang aku percaya. Jadi, apakah azam aku untuk tahun baru ini?

Azam Pertama. Aku mahu lupakan segala kelukaan di jiwa ini. Tidak guna mengenang perkara ataupun peristiwa yang telah berlalu. Cukuplah sekadar ianya menjadi memori silam. Anggaplah semua yang berlaku itu ada hikmah di sebalik-Nya. Lagipun, pengalaman mengajar kita erti sebuah kehidupan. Mengajar kita agar lebih menghargai kehidupan yang sementara ini. Malah, pengalaman ini jualah yang mengajar kita agar menjadi seorang yang lebih matang serta tabah menghadapi dugaan hidup ini. Apa yang berlaku dalam hidup kita ini bukanlah halangan ataupun rintangan dalam kita mencapai sesuatu. Sebenarnya, ianya lebih kepada cabaran. Ya. Cabaran untuk menjadikan kita lebih lasak serta tidak mudah putus asa. Dan juga tidak terlalu bergantung kepada pertolongan orang lain.

Azam Kedua. Aku mahu membina kerjaya yang lebih stabil. Hingga saat ini, aku sudah bekerja di lebih 7 buah syarikat tempatan. Aku pernah bekerja sebagai Technician, Advertising & Marketing Executive, Graphic Designer, Video Editor, Visual Merchandising Display (VMD), Web Designer dan yang terbaru Multimedia Designer. Dan tidak lupa juga, aku pernah menjadi pelayan restoren serta freelancer sebagai kerja ‘part-time’. Aku mudah menjadi bosan dengan membuat kerja-kerja yang sama berulangkali. Entahlah. Mungkin kerna aku tidak suka terkongkong dengan mana-mana individu ataupun apa-apa polisi. Harap-harap aku dapat bertahan dengan lebih lama dalam kerjayaku sekarang ini. Cukuplah. Aku sudah tidak larat lagi untuk bertukar-tukar kerjaya.

Rasanya, itu sahaja azamku untuk tahun baru ini. Mungkin aku perlu langsaikan azam-azam yang pernah aku buat pada tahun-tahun sebelum ini. Oh ya. Andainya kalian ingin luahkan azam kalian di sini, silalah. Aku tidak menghalang malah amat menghargainya. Mungkin kita boleh saling ingat-mengingati di antara satu sama lain satu hari nanti. Mungkinlah.

P/s: Silalah undi blog ini untuk The Malaysian Dotcom Youth Search 2008 Award.

Advertisements

Fatamorgana Kehidupan…

Tahun 2007 hampir melabuhkan tirainya. Terlalu banyak peristiwa yang berlaku dalam kehidupanku. Sama ada secara sedar mahupun tidak sedar. Selamat tinggal 2007. Hanya itu yang mampu aku luahkan tika saat ini. Tidak termampu aku mencoretkan segala-galanya dalam blog ini. Yang ada di sini hanyalah sebahagian kecil sahaja. Sekadar cebisan kenangan yang tersemat dalam jiwa sanubari ini.

Pulau Redang 2007

Sebenarnya, gambar pemandangan pantai ini pernah aku ‘publish’kan satu ketika dahulu. Rujuk sini. Cuma kali ini versi yang berlainan. Versi yang menggambarkan revolusi dalam kehidupanku. Revolusi tentang halatuju hidup ini. Abaikan andainya kalian tidak mengerti. Cukuplah aku sahaja yang memahaminya.

Melihat gambar pemandangan ini, hati ini kembali bergelojak. Terasa benar kerinduan pada suasana di sana. Cukup damai. Tenang. Entah bila akan aku ke sana lagi. Yang pastinya bukan masa terdekat ini. Maklumlah, sekarang ini musim tengkujuh. Musim laut bergelora. Menjejak kaki ke sana di musim ini bermakna aku mahu menempah maut. Aku tidak seberani itu. Menempuh risiko yang tinggi harga nilainya. Biarlah aku digelar sebagai pengecut. Aku tidak kisah kerna aku masih memiliki akal yang waras. Akal waras yang kadangkalanya bertukar menjadi minda separa sedar.

Oklah. Lupakan segala kenangan yang telah berlalu. Biarlah ianya dibawa arus ombak yang mendatang. Yang pastinya, ombak yang melanda ini mampu mengubah pantai. Ya. Sepertimana yang berlaku ke atas diri ini. Dan sepertimana yang terjadi pada gaya penulisanku. Ramai yang mengatakan gaya penulisanku agak serius kebelakangan ini. Agak melankolik. Ataupun melodrama. Entahlah. Mungkin kerna aku terlalu banyak menggunakan otak kanan. Otak kanan dikaitkan dengan kreativiti serta fleksibiliti. Sila rujuk di sini.

Oh. Aku melalut lagi. Hasilnya, entry yang agak bercelaru isi kandungannya. Malah, tiada ‘point’ utama yang cuba disampaikan. Biarkanlah. Sebenarnya aku tiada mood untuk menulis walaupun idea datang mencurah-curah. Bak air hujan yang menyirami daun keladi. Nanti-nantilah aku sambung semula. Itupun andainya mood aku sudah kembali.

Sekian.

Aku Bukannya Penyair Cinta…

Masjid Terapung

Ding ! Jam besar di dinding baru menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Huh. Terasa begitu lambat masa berlalu. Terutamanya pada hari Sabtu. Hari yang menandakan waktu untuk bercuti di hujung minggu. Ataupun lebih tepat hari untuk berehat. Mungkin kerna itulah hari Sabtu sentiasa dinanti-nantikan kedatangannya. Entahlah. Kekadang aku suka hari tersebut. Itupun andainya ada sesuatu yang dapat dilakukan. Dan adakalanya aku tidak gemar hari Sabtu. Ya. Seperti sekarang ini. Bosan. Buntu. Tiada apa-apa yang menarik dapat dilakukan. Hanya sekadar mengadap monitor komputer yang agak usang ini. Yang tiada apa-apa perasaan walaupun saban hari aku memandangnya. Kaku. Begitulah lagaknya. Namun begitu, kesetiaannya tidak usahlah dipertikaikan. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi. Sentiasa menemani diriku tanpa mengira waktu. Dan tanpa mengenal erti bosan. Jauh sekali untuk memberontak. Jasanya begitu besar. Tanpanya, nukilan ini tidak mampu dicoretkan. Tanpanya, tiada lagi sumber hiburan untuk diriku. Sekadar hiburan di masa terluang.

Ah. Terasa mengantuk pula diri ini. Mungkin kerna terlalu lama mengadap monitor ini. Aku perlu berehat. Mata ini perlu dipejamkan seketika. Lantas aku merebahkan diri di tempat perbaringan. Aku memandang kipas yang berputar ligat di siling. Hanya sekadar pandangan yang sia-sia. Kosong. Tiada apa-apa yang difikirkan dalam benak minda pada saat ini. Mungkin sebentar lagi minda ini akan berada di awang-awangan. Di antara sempadan realiti dan khayalan fantasi semata-mata. Sempadan di mana aku sukar untuk membezakan kebenaran serta kepalsuan. Dan tidak semena-mena, aku teringat lirik lagu ‘Cinta Belacan’ nyanyian Saiful Apek. Ingatan yang datang secara tiba-tiba. Sama sekali tidak terduga dek akal ini.

“Cinta itu boleh diumpamakan bagai makan sambal belacan. Walau pedas hingga mengalir airmata, masih mahu dimakan jua.”

“Cinta jangan dibuat macam goreng pisang. Sungguh enak bila makan panas-panas. Bila ia sejuk jadi kurang enak.”

Lirik yang cukup ringkas tetapi mendalam maksudnya. Sindiran pedas persis cili padi. Cukup tajam hingga mampu menusuk kalbu. Setajam mata pedang. Oh. Maafkan aku sekali lagi. Sememangnya aku tidak berniat untuk berbicara tentang cinta. Aku tidak mahu kalian semua naik jelak dengan persoalan cinta yang sering aku ketengahkan dalam blog ini. Setiap orang pasti muak seandainya disogokkan dengan perkara-perkara yang sama berulangkali. Niatku di sini hanyalah sekadar ingin berkongsi sesuatu yang aku rasa berbaloi untuk direnungkan bersama-sama. Ya. Sekadar renungan bersama dan bukanlah semata-mata seloroh kosong di waktu malam yang sepi serta dingin ini. Rasanya tidaklah menjadi kesalahan andainya aku cuba untuk melahirkan cetusan rasa melalui apa yang aku nampak secara zahir.

Dan satu perkara lagi sebelum aku terlupa. Silalah abaikan tajuk entry ini andainya kalian rasa ianya tidak bertepatan dengan isi kandungannya. Aku sengaja menamakannya begitu. Kerna bagiku, setiap entry yang dihasilkan perlu mempunyai nama. Bukankah itu lumrah kehidupan? Setiap makhluk di muka bumi pasti ada nama tersendiri. Tidak kiralah ianya makhluk hidup ataupun bukan hidup. Silalah perbetulkan aku andainya pendapat itu salah. Aku pasti menerima setiap komen atau kritikan dengan hati terbuka. Jadi, sesiapa yang berhasrat untuk melontarkan pandangannya, silalah berbuat demikian. Percuma sahaja. Dan tiada bayaran tersembunyi dikenakan. Percayalah.

Nota Kaki :
Poster di atas terhasil akibat penangan kebosanan di masa terluang. Secara jujurnya, ianya tiada kaitan langsung dengan entry ini. Sekadar hiasan semata-mata. Tiada kaitan dengan yang masih hidup atau yang sudah tiada.

Sedamai Rimba Menghijau…

Aku kembali. Kembali memasuki hutan di belakang rumahku. Hutan yang menjadi kawasan permainanku di zaman kanak-kanak. Pohon-pohon Gelam Mas masih banyak kelihatan. Masih seperti dahulu, cuma saiz lilitan yang bertambah besar. Ya. Pohon-pohon itu juga membesar seiring dengan pertambahan usiaku. Dan kehadiran rimbunan semak-samun yang menghijau benar-benar melengkapi ekosistem hutan ini. Saling memerlukan. Pepohon besar menjadi tempat berteduh bagi semak-samun. Manakala rimbunan semak-samun tersebut boleh dianggap sebagai hiasan kepada pepohon yang lebih besar. Bagiku, persekitaran rimba yang menghijau merupakan pemandangan yang sugguh mengasyikkan. Keindahannya mampu membuatkan aku lupa seketika pada keserabutan minda. Tenang. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan ketika itu.

Secara spontan, ingatanku kembali terarah kepada nostalgia zaman kanak-kanak. Zaman yang dipenuhi keriangan dan keseronokan. Zaman di mana aku masih belum mengenal erti ketakutan sepenuhnya. Dan juga tidak mengetahui erti kegagalan dalam sebuah kehidupan. Keluar masuk ke dalam hutan pada ketika itu seolah-olah menjadi rutin harian hidupku. Pada kebiasaannya, aku masuk ke dalam hutan pada waktu petang setelah selesai mengaji Al-Quran di rumah Tok Guru. Aku tidak pernah menghiraukan nasihat ibuku agar tidak masuk ke dalam hutan. Rasanya sudah berbuih-buih ibuku memberi nasihat, namun semuanya aku tidak endah. Mungkin kerna aku seorang anak yang degil. Keras kepala barangkali. Tetapi semua itu cerita lama. Kedegilan tersebut beransur-ansur hilang apabila diri ini memasuki fasa remaja.

Aku masih ingat hingga saat ini. Di hutan inilah, aku mengutip buah gajus bersama teman-temanku. Biji gajus yang diperolehi kemudiannya dibakar sebelum dimakan. Bagiku, rasanya sungguh enak walaupun kadangkala ianya hangus terbakar. Oh. Ada satu lagi aktiviti yang biasa aku lakukan. Aktiviti mengutip buah kemunting. Bersusah-payah masuk jauh ke dalam hutan semata-mata ingin mengutip buah ini. Kembali ke rumah hanyalah setelah seplastik buah kemunting berjaya dikutip. Kadangkala aku gemar meletakkannya ke dalam peti ais sebelum memakannya. Pelik kan? Haha.

Dan satu perkara yang tidak akan kulupakan. Hutan inilah yang menjadi dunia imaginasiku. Aku merasakan seolah-olah aku menjadi raja di hutan ini. Lagak sebagai seorang raja rimba. Semua penghuni tunduk hormat kepada diriku. Kononnya aku mampu berinteraksi dengan haiwan, unggas, pokok, serangga dan segala isi perut rimba ini. Sadis kan? Mungkin kerna aku telalu banyak menonton cerita Tarzan. Hingga terbawa-bawa ke dunia realiti.

Satu lagi kenangan yang tidak bisa kulupakan. Aku pernah terserempak dengan sekumpulan pemuda berjudi di hutan ini. Ketika usia sementah itu, aku sukar mengerti apa yang cuba dilakukan mereka. Bermain daun terup di celah-celah pepohon dalam hutan itu. Hanya beralaskan kertas suratkhabar dan berbumbungkan langit. Bermain dan terus bermain di situ tanpa menghiraukan masa yang berlalu. Alpa. Seolah-olah hilang arah tuju hidup. Tiada matlamat dalam hidup. Entahlah. Biarkanlah mereka dengan dunia mereka sendiri. Aku tidak mahu ambil peduli.

Oh. Ada satu lagi. Di hutan ini, tedapat sebatang anak sungai. Namun, aku tidak pernah berani menghampirinya kerna aku percaya di situ terdapat buaya. Ya. Buaya yang sering diceritakan oleh ayahku. Namun, hingga saat ini aku tidak dapat memastikan kebenaran cerita itu. Lantaklah. Lagipun sungai itu tidaklah bersih sangat. Malah tidak sesuai untuk mandi-manda kerna terdapat pokok-pokok bakau berdiri megah di tebing sungai itu. Jadi, aku membiarkan sahaja misteri kewujudan buaya di sungai tersebut. Pasti misteri itu akan terungkai suatu hari nanti. Biarlah masa yang menentukannya.

Dan satu lagi. Yang terakhir. Aku juga pernah membuat lastik. Kononnya untuk melastik burung-burung yang berterbangan di dalam hutan tersebut. Namun setelah ianya siap, aku tidak pernah menggunakannya. Malah tidak pernah belajar untuk menggunakannya. Entahlah. Mungkin kerna aku tidak sampai hati untuk melastik burung. Seringkali timbul rasa kasihan pada burung-burung yang bebas berterbangan. Mereka terlalu naif untuk diseksa sedemikian rupa. Akhirnya, aku hanya sekadar menyimpan lastik tersebut di dalam laci almari. Membiarkan ia usang dimamah anai-anai.

Tamat.

Selamat Tidur Bintang Malamku…

Cuaca malam ini agak dingin. Mungkin kerna penangan hujan yang belum reda hingga saat ini. Aku cuba melelapkan mata. Namun tidak berjaya. Entahlah. Sepasang mata ini terasa begitu segar untuk dipejamkan. Sedangkan lampu kalimantan sudah lama kupadamkan. Aku bergelapan dalam suasana sekeliling yang gelap gelita. Aku sememangnya suka dengan suasana kegelapan ini. Seperti ada sesuatu yang menarik di sebaliknya. Malah terasa mudah untuk memperolehi ketenangan melaluinya. Malah, bagiku suasana gelap ini mampu membangkit perasaan romantik yang terpendam dengan dalam jiwa. Ah. Apabila teringat romantik, pasti diri ini teringat dengan cinta. Huh. Nampaknya terpaksalah aku melayan perasaan di malam yang sunyi ini. Mungkin ianya membantu diriku dalam proses melelapkan mata.

Cinta adalah sesuatu yang kompleks. Cinta memang mudah diluahkan atau dipertuturkan melalui kata-kata. Tetapi, sejauh manakah keikhlasan kata-kata cinta yang diluahkan itu? Bagiku, cinta melibatkan proses pengenalan, permasalahan, penyelesaian serta kesudahan. Kompleksiti dalam menghuraikan erti cinta menyebabkan sesetengah insan malas berfikir mengenainya. Malah menyerahkan sepenuh hatinya kepada takdir. Sepertimana yang kita semua maklum, cinta ini bukanlah sesuatu yang boleh dirancang perjalanannya. Malah tiada sesiapapun yang mampu menduga atau meramal nasib seseorang dalam percintaannya.

Cinta ini banyak kategorinya. Cinta kepada Tuhan kekal selamanya. Cintakan diri sendiri adalah dengan tidak melakukan sesuatu yang memudaratkan diri sendiri. Cinta kepada keluarga adalah berkorban sedaya upaya untuk kesenangan bersama. Cintakan alam dan haiwan adalah memelihara serta memulihara dari kepupusan atau kebinasaan. Manakala cintakan kekasih amat besar ertinya serta amat merbahaya. Yang pastinya, hayatilah cinta yang hadir dengan penuh keikhlasan serta berlandaskan kejujuran. Ingatlah. Cinta yang sejati seharusnya tidak berkait rapat dengan darjat atau kekayaan. Ianya perlu lahir dari hati yang benar-benar tulus ikhlas. Tiada paksaan dalam percintaan. Semua insan tahu tentang itu. Aku juga percaya bahawa cinta ini mampu mengubah situasi/keadaan serta dapat mencetus revolusi dalam diri seseorang. Ada sesetengah orang berubah sikap secara drastik semata-mata kerna cinta. Seolah-olah cinta ini mampu memberikan satu semangat atau kuasa ghaib dalam diri seseorang. Hinggakan ada yang sanggup berkorban serta mengalir air mata darah kernanya.

Nampaknya cukup setakat ini coretan cintaku. Hanya sekadar luahan revolusi cinta dalam jiwa sendiri. Aku bukanlah seorang revolusioner, aktivis, ekstrimis ataupun intelektual. Cuma sekadar menerapkan nilai-nilai kesedaran sebagai perkongsian minda bersama. Mungkin kalian di luar sana lebih arif mengenainya. Diskusi. Yup. Diskusi itulah medium tradisi kita dalam memecahkan persoalan sesuatu isu. Ayuh berdiskusi !

Kabus Pagi…

Kokokan ayam jantan di halaman belakang rumah benar-benar mengejutkan tidur lenaku. Huh. Hari sudah hampir siang rupa-rupanya. Bisik hati kecilku. Nasibku agak baik kerna fajar belum menyingsing. Maka sempatlah untuk aku mengerjakan solat Subuh. Kewajipanku sebagai seorang Muslim perlu didahulukan. Kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

Lantas aku terus bangkit dari tempat perbaringan. Sambil menghirup udara segar. Terasa begitu nyaman sekali. Kabus-kabus putih sudah mula kelihatan di luar jendela. Menandakan suhu yang dingin sewaktu terbitnya sang mentari. Namun kedinginan yang wujud itu tidaklah sampai menyusuk hingga ke sum-sum tulang. Jadi kedinginan seperti itu tidaklah memberi aku sebarang masalah untuk segera berwuduk.

Aku berbaring seketika di atas tilam empuk setelah selesai menunaikan solat. Termenung. Memikirkan kehidupan yang bakal dilalui. Apakah yang bisa terjadi hari ini? Adakah kabus pagi ini akan bertukar menjadi titisan embun di celahan dedaun yang menghijau? Ataupun kabus pagi ini bertukar menjadi kabus ribut sepertimana lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan Butterfingers? Waallahualam. Hanya Dia Maha Mengetahui.

Seperti biasa, aku terus berimaginasi tanpa had sempadan. Pagi-pagi sebeginilah yang banyak memangkin luahan idea dari mindaku. Barangkali mungkin kerna minda masih segar. Masih belum dinodai dengan anasir-anasir luar. Hanya satu kebarangkalian rawak yang sekadar menjadi hipotesis diriku. Mungkin ada kebenaran di sebalik hipotesisku yang tidak seberapa itu. Kemungkinan yang tiada kepastiannya. Biarlah. Pasti ingatanku pada hipotesis ini akan berlalu seiring dengan perjalanan waktu.

Aku baru teringat tentang hari ini. Hari ini adalah hari Jumaat. Hari cuti hujung minggu bagi negeri Terengganu. Jadi tidak perlulah aku keluar bekerja hari ini. Boleh bermalas-malasan dengan alasan hendak berehat. Aku cuba untuk memejamkan mata. Namun, hajatku tidak kesampaian. Adik bongsuku mengajak aku untuk menemaninya ke pantai. Yalah. Jawapan ringkas yang terpaksa aku luahkan untuk mengiyakan ajakannya. Lagipun aku sudah lama tidak ke sana. Di sana nanti, bolehlah aku menghirup udara segar dari pantai di waktu pagi. Oh ya. Pantai Bukit Keluang hanya terletak lebih kurang 2km dari rumahku. Aku agak bernasib baik kerna cuaca hari ini begitu cerah. Tiada tanda-tanda hujan akan turun. Maklumlah sekarang ini musim tengkujuh. Jadi, terpaksalah peka dengan keadaan cuaca sebelum membuat sebarang perancangan.

Sesampainya di sana, aku terus melabuhkan diri di atas batu besar. Sambil memerhatikan adikku dari jauh. Jelas kelihatan keriangan di wajahnya. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Terasa begitu nyaman sekali apabila rambutku dibelai lembut oleh sang bayu. Mungkin aku boleh menyambung kembali lamunanku yang terhenti seketika tadi. Baru sahaja aku ingin menyambung lamunan, aku tertarik dengan dialog antara 2 orang pemuda yang duduk tidak berjauhan dariku. Tambahan lagi, suara mereka agak kuat hingga aku dapat mendengar setiap butiran percakapan mereka.

Si A: Best laa ko ni ek.. Ye laa.. Dapat awek sporting camni… Selalu jer follow ko…
Si B: Haha.. Biasalah tu… Tengok kaki laa…
Si A: Tu laa pasal… Kekadang jeles gak aku tengok ko ni… Tak macam awek aku ni… Nak jumpa sekali sebulan pun susah… Macam-macam alasan dia kasi…
Si B: Alaa… Rilek laa bro… Kalau susah sangat… Ko cari laa awek baru… Abis citer…
Si A: Senangnya ko cakap… Ko ingat cari awek ni macam beli goreng pisang ke?
Si B: Aku kan ada… Cakap je awek camne ko nak? Nanti aku carikan…
Si A: Erk… Takpelah… Buat susah-susah ko jer…
Si B: Mana ada susah-susah… Masa ni laa gunanya kawan… Tak gitu?
Si A: Eh… Family awek ko ni tak kisah ke ko selalu bawa anak dara diorang ke sana ke mari?
Si B: Laa… Apa nak kisah sangat? Aku kan dah kahwin ngan awek aku ni… Cuma nikah jer belum…

Dialog tersebut diakhiri dengan gelak tawa besar Si B. Dan kemudiannya diikuti gelak tawa Si A yang faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Si B.

Aku tersentak kebingungan. Mungkin aku faham dengan apa yang mereka perbualkan. Ah. Biarkan. Lagipun aku tidak mengenali mereka berdua. Cuma yang aku pasti Si B itu tidak ikhlas dengan kekasihnya. Erk. Sepatutnya bukan kepastian. Cuma serkap jarang dari diriku. Tuduhan yang tidak berasas. Tidak mengikut landasan yang betul. Emm. Lupakan hal itu. Tidak usahlah aku berbicara mengenainya.

Menyebut perkataan ikhlas itu, aku teringat dengan satu kata-kata yang pernah aku luahkan pada seorang teman. Niatku hanya sekadar mengajaknya untuk berfikir bersama-sama. Entahlah.

“Adakah nilai persahabatan masa kini boleh dinilaikan dengan mata wang ringgit?”

“Adakah kita benar-benar ikhlas dalam persahabatan andainya kita mengharapkan balasan atas setiap pertolongan dihulurkan selama ini?”

Sama-samalah kita fikirkannya. Adakah tiada lagi keikhlasan dalam sebuah realiti kehidupan? Adakah keikhlasan itu hanya semata-mata dongengan karut? Ataupun keikhlasan itu hanya sekadar fantasi minda separa sedar? Aku pasti kalian semua ada jawapan tersendiri.

Eksploitasi Realiti Sang Pemimpi…

Idea. Ke manakah dikau menghilangkan diri di saat aku memerlukanmu? Datanglah kepadaku agar bisa ku mencoret sedikit nukilan di blog ini. Entahlah. Idea sebenarnya tidak pernah hilang. Cuma barangkali ianya tersorok di suatu tempat. Ataupun mungkin tersekat di lorong yang tidak diketahui. Lorong gelap yang menjadi tanda tanya sehingga kini.

Dan secara jujurnya, banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini. Yup. Perkara yang terjadi ketika minda ini dalam keadaan sedar. Jadi, sepatutnya aku tidak boleh menyalahkan idea dalam hal ini. Mungkin aku tiada masa. Mugkin juga aku tiada mood. Aku sendiri pun tidak pasti mana satu jawapan yang sesuai. Tidak mengapalah. Janji aku masih berupaya untuk berkarya di sini. Karya picisan yang dicoretkan tanpa halatuju yang jelas.

Mungkin juga aku hanya perlu biarkan sahaja minda separa sedar untuk meluahkan ideanya. Layankan apa sahaja yang berlegar-legar di minda. Ikut sahaja arus minda separa sedar. Tidak usahlah menahannya. Pasti banyak idea yang terluah. Cuma mungkin agak kurang menarik untuk aku kupaskan di ruangan maya ini. Dan semestinya ada yang berkata aku ini terlalu cerewet. Tidak mengapalah. Aku akui memang itu sifatku. Dan rasanya, ianya tidak menyusahkan orang lain. Hanya menyusahkan diriku sendiri. Kadangkala terasa diri ini begitu asyik mengikut arus minda separa sedar. Umpama hilang segala permasalahan yang melanda diri. Terasa bebas berterbangan menerjah alam fantasi ciptaan sendiri. Berkhayal tanpa batasan. Tiada sempadan atau sekatan minda. Yang ada hanyalah fantasi yang indah serta berbeza dengan realiti.

Dan akhir-akhir ini, aku kerap mengalami mimpi. Mimpi yang tidak sama. Dan sukar untuk diingati apabila diri ini kembali ke keadaan sedar. Yang pentingnya, mimpi-mimpi itu sungguh indah menusuk kalbu. Hinggakan aku pernah terfikir untuk terus menjadi sang pemimpi. Terus bermimpi tanpa bangkit dari tidur lena. Dan terus diulit mimpi yang indah. Namun, aku sedar. Aku hanya manusia biasa yang ada halatuju sendiri. Perlu bangkit dari tidur lena untuk meneruskan kehidupan. Menghadapi realiti yang semakin mencabar. Tidak usahlah gusar kerna setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya.

Erkk. Nampaknya sudah jauh aku melalut kali ini. Aku perlu segera kembali kepada realiti. Kembalilah wahai sang realiti. Aku benar-benar merinduimu di kala ini. Ah. Sebenarnya, aku sudah ketandusan idea. Tidak mampu untuk mencoret sesuatu yang memberangsangkan walaupun pelbagai perkara berlaku di sekelilingku setiap masa. Anggaplah entry kali ini sebagai bebelan seseorang yang ketandusan idea. Mungkin juga boleh dianggap entry sampah. Entahlah. Noktah.