Di Sini Tanpa Bicara…

Daun-daun berguguran memenuhi ruangan tempat letak kereta. Seumpama penyeri kepada persekitaran halaman hospital ini. Setelah berpusing-pusing dua tiga kali, akhirnya aku berjaya menemui tempat meletak kereta. Lantas aku berjalan menyusuri laluan ke wad pesakit. Wad ICU. Tingkat 3. Hospital Sultanah Zanariah, Kuala Terengganu.

Beep. Beep. Hanya itu yang kedengaran. Memecah kesunyian di sini. Bunyi-bunyian dari mesin rawatan. Aku cuba memahami apa yang tertera di skrin mesin-mesin tersebut. Tapi semua itu sukar untuk difahami. Yang jelas kelihatan hanyalah nombor-nombor serta jalur-jalur gelombang tertera pada skrin. Wayar-wayar serta tiub-tiub bersimpang-siur dengan berbagai warna dan susunan. Seolah menjadi hiasan wajib kepada pesakit yang terlantar di atas katil. Kedengaran juga erangan kecil pesakit yang menderita. Aku menjadi sayu. Pilu. Hiba.

Jam menunjukkan 6.55 petang, kurang lima minit untuk pukul 7 malam. Aku terus setia menanti di sini. Biarlah aku bersendirian di sini. Menemani datuk yang masih belum sedar. Kulihat air mata jernih mengalir di pipinya. Pasti berat kesakitan yang dialaminya. Penderitaan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Mungkin sebentar lagi, datanglah sanak-saudara yang lain.

Sebenarnya, aku benci berada di sini. Ianya benar-benar mengingatkan diriku tentang erti kesakitan. Keperitan. Kesunyian. Kesukaran. Dan juga tentang kematian. Bau ubat-ubatan juga memualkan anak tekakku. Mungkin kerna itulah aku tidak gemar ke sini. Entahlah. Aku tidak pasti selama mana keadaan ini akan berterusan. Yang mampu kulakukan hanyalah terus bertawakal kepada-Nya.

P/s: Kepada kalian yang membaca blogku ini, sudilah kiranya mendoakan agar datukku cepat sembuh. Amin.

Sekukuh Tembok Besar China…

Negara China. Aku pernah berangan-angan untuk ke sana. Oh. Bukan negara China sebenarnya, negara Jepun yang sepatutnya. Aku pernah memohon untuk program Japanese Associated Degree atau singkatannya JAD. JAD adalah program pengajian ijazah luar negara tajaan MARA. Sila abaikan andainya ejaan itu salah. Aku sendiri tidak pasti ejaan yang sebenar. Yang lebih utama, aku pernah memohonnya tetapi gagal. Lantas aku terdampar di selatan tanahair. Melanjutkan pengajian dalam bidang komputer di Universiti Teknologi Malaysia.

Ya. Aku juga seorang graduan. Bertungkus-lumus belajar bersama-sama dengan Pak Ngah dalam mengejar erti sebuah kejayaan. Kejayaan menggapai segulung Ijazah Sarjana Sains Komputer. Di universiti inilah, aku mula belajar mengenal apa itu ‘programming’. Malah aku juga pernah bercita-cita hendak menjadi seorang ‘hacker’. Namun, semua itu tidak mampu menjadi kenyataan. Dek kerna terlalu bosan serta berserabut dengan kompleksiti dalam pengaturcaraan, aku mengubah halatuju asalku. Lantas akhirnya aku terjebak ke dunia seni. Menjadi ‘designer’ sepenuh masa. Mungkin darah seni telah mengalir sebati dalam darahku. Seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi. Umpama irama dan lagu. Tanpa irama, tidak berertilah lagu tersebut. Andainya diikutkan rasa hati, ingin sahaja aku menyambung pelajaran dalam bidang arkitek. Namun, apabila mengenangkan faktor ekonomi serta beban tanggungan sedia ada keluargaku, aku terpaksa melupakan hasrat serta cita-cita itu. Aku tidak pernah menyesal. Kerna aku yakin semua yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Aku pernah terdengar ada yang mengatakan universiti sekarang sudah menjadi seperti kilang. Ya. Kilang yang mengeluarkan graduan secara besar-besaran. Dan semua graduan yang berjaya menamatkan pengajiannya tidak semestinya memperolehi kerjaya. Malah keputusan yang baik juga tidak menjanjikan kerjaya yang baik. Lantas ada yang menganggur setelah sekian lama berhempas-pulas untuk mengenggam segulung ijazah. Jadi, apakah yang dapat disimpulkan di sini? Sanggupkah kalian menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk menjadi penganggur. Penganggur terhormat barangkali. Entahlah. Kepada kalian yang sudah berkerjaya, bersyukurlah. Dan kepada kalian yang belum berkerjaya, percayalah bahawa rezeki ada di mana-mana. Yang penting, usahlah mudah berputus asa.

Dukung segulung ijazah sebelum mendukung seorang anak. Berkasih dengan bertemankan buku. Berbulan madu dengan kejayaan.

Kadangkala, aku terfikir sendirian. Kenapa harus kita belajar? Dunia masa kini seolah-olah telah merombak nawaitu asal untuk belajar. Belajar kerna agama. Adakah kita semua belajar semata-mata untuk memperolehi kerjaya? Bukalah mata. Tajamkan minda. Lihatlah keadaan sekeliling kita di era globalisasi sekarang ini. Sijil, diploma atau ijazah telah menjadi lesen utama untuk bekerja. Rata-rata syarikat perlukan graduan yang ada kelayakan ijazah ataupun diploma. Ataupun sekurang-kurangnya memiliki sijil kemahiran. Mereka yang tidak memiliki sebarang kelayakan, tentulah sukar untuk memperolehi kerjaya. Mungkin itulah yang dikatakan keadilan. Keadilan sejagat? Entahlah. Fikir-fikirlah sendiri.

P/s: Pusat bowling sudah bertapak di Pasaraya Astaka, Kuala Terengganu. Pasaraya tersebut benar-benar berada di belakang pejabatku. Secara tidak langsung, virus ketagihan bermain bowling telah melanda sebilangan pekerja di sini. Termasuklah aku. Huh.

Demimu Wahai Teman…

Tiada entry terbaru kali ini. Sekadar TAG dari kawan-kawan.

TAG PERTAMA

Dari AnakKawi

The Rules:

1. Link to your tagger and post these rules.
2. List eight (8) random facts about yourself.
3. Tag eight people at the end of this post and list their names.
4. Let them know they’ve been tagged by leaving them a comment on their blogs.

Rasanya aku pernah membuat TAG ini. Rujuk sini. Namun, untuk tidak menghampakan permintaan beliau, aku buat TAG ini sekali lagi.

1 – Suka memakai t-shirt hitam kerna bagiku ianya serasi dengan diriku. Terlalu banyak bilangan t-shirt hitam dalam koleksi pakaianku. Hinggakan diriku pernah ditegur oleh ibu kerna asyik memakai t-shirt hitam. Dan di sini, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah sama sekali terlibat dengan aktiviti-aktiviti Black Metal. Belia Benci Dadah !

2 – Suka mandi pada waktu malam dalam tempoh masa yang agak lama. Cari ilham kot.

3 – Suka pada kegelapan kerna bagiku ianya sungguh mendamaikan. Kegelapanlah yang dapat membantu tubuh kita tidur dengan nyenyak. Dan tidak lupa selimut hitam yang menjadi faktor pemangkin tidur lenaku.

4 – Suka berimaginasi sepanjang hari tanpa mengira masa serta tempat. Layankan sahaja apa-apa yang berlegar-legar di ruangan minda separa sedar ini. Adakalanya berguna. Dan adakalanya tidak. Gunakan akal yang waras untuk tentukannya.

5 – Suka kumpul tiket-tiket seperti tiket wayang @ tiket bas serta kad-kad prepaid. Dan tidak ketinggalan juga resit-resit dari mesin ATM. Entahlah. Aku pun tidak pasti kenapa aku berbuat demikian.

6- Suka modifikasi barang-barang persendirian seperti komputer, kereta, motor dan handphone. Mungkin kerna aku inginkan kelainan serta identiti tersendiri.

7 – Suka buat design tanpa halatuju @ konsep yang jelas. Kebanyakan design yang aku buat adalah secara spontan. Kebanyakan berdasarkan pada kehidupan aku sendiri. Yupp. Kehidupan ini pasti ada turun serta naiknya. Itulah hakikat roda kehidupan yang perlu kita tempuhi dengan tabah.

8 – Erk. Aku tiada idea lagi. Kerna aku sendiri tidak memahami diri ini sepenuhnya. Mungkin ada orang lain yang boleh nilai.

TAG KEDUA

Dari Noushy Syah

Start copy*

Great minds discuss ideas;
Average minds discuss events;
Small minds discuss people.

He, who loses money, loses much;
He, who loses a friend, loses much more;
He, who loses faith, loses all.

Friends, you and me…
You brought another friend…
And then there were 3…
We started our group…
Our circle of friends…
And like that circle…
There is no beginning or end…
Yesterday is history.
Tomorrow is mystery.
Today is a gift.

So now, let’s see how many circle’s of friends we can make by simply adding your link on this Friendship Meme!

*End copy here *

TAG KETIGA

Dari Angriani

Four Jobs I’ve Had

  • Technician
  • Waiter
  • Advertising & Marketing Executive
  • Web/Graphic/Multimedia Designer

Four Places I’ve Lived

  • Rumah keluarga di Kota Putra
  • Rumah sewa di Taman Teratai, Skudai
  • Apartment Melana di Taman Universiti
  • Sekarang di Bukit Besar, Terengganu

Four Movies I’ve Watched Over& Over

  • Legend Of Speed
  • Fast & Furious
  • Young & Dangerous
  • Sword Fish

Four Shows I Watch

  • CSI
  • Numb3rs
  • The Apprentice
  • Prison Break

Four Places I’ve Been

  • Taman Tamadun Islam, Pulau Man
  • Genting Highlands
  • Pantai Cherating
  • Port Dickson

Four People who Email Me Regularly

  • Entah. Tidak pasti.

Four Favorite Things to Eat

  • Nasi Dagang
  • Nasi Lemak
  • Nasi Ayam
  • Nasi Goreng Ikan Masin

Four Places I’d Rather Be

  • Makkah
  • Paris
  • New York
  • London

Four Things I Look Forward to this New Year

  • Lupakan segala kelukaan di jiwa ini.
  • Kerjaya yang lebih stabil.
  • Pasangan hidup yang serasi.
  • Ringankan bebanan keluarga.

Jikalau kalian semua kebosanan, silalah pilih salah satu TAG yang ada di atas. Aku malas untuk TAG orang lain. Hehe.

Menongkah Arus Kehidupan…

Arghh. Hanya jeritan kecil itu sahaja yang mampu aku luahkan. Badan kecil ini tidak mampu menahan heretan kasar oleh wanita tua ini. Aku tidak berdaya. Terasa begitu perit bahagian belakangku. Bajuku hampir koyak. Kerna kesalahan kecil, aku diperlakukan sedemikian. Ya. Kesalahan kerna mengacau adik kecilku bermain dengan anak patungnya. Lantas aku menerima hukuman ini.

Gelap-gelita. Sempit. Itu sahaja yang dapat mengambarkan keadaan reban ayam ini. Aku dikurung di dalam sebuah reban ayam. Terasa begitu hina benar diriku ini. Dikurung bersama-sama haiwan ternakan di atas kesalahan yang tidak disengajakan. Aku tidak mengerti. Bau busuk najis ayam menyelubungi setiap lingkup ruangan reban ayam ini. Bau yang benar-benar memualkan diri ini. Adakah ini salah satu proses pembelajaran. Mampukah hukuman seperti ini meresap lantas mematangkan jiwa ragaku? Entahlah. Aku tidak pasti.

Senyuman sinis adikku masih jelas berlegar-legar di benak fikiran. Senyuman tanda kepuasan tatkala melihat diriku menerima hukuman ini. Huh. Di manakah erti sebuah keadilan? Kenapa aku terus dihukum tanpa adanya budi bicara. Sekurang-kurangnya berilah peluang kepadaku untuk berkata-kata. Cukuplah sepatah dua kata untuk mempertahankan diri sendiri. Serta menegakkan kebenaran yang aku sendiri tidak pasti.

Aku pasrah.

Entry ini adalah secebis memori silam yang tiba-tiba menerjah kancah pemikiranku di saat ini. Memori silam sewaktu aku masih lagi berada dalam dunia kanak-kanak.