Rembulan Cinta Di Tasik Selatan…

“I’d rather to be hated for who I am, than loved for who I am not” ~ Kurt Cobain

Memang kebenaran kata-kata di atas. Kata-kata yang aku pinjam dari mendiang vokalis Nirvana, Kurt Cobain. Agak mendalam maksud yang cuba disampaikan. Mungkin kalian semua berbeza dalam menilai pengertian kata-kata berikut. Mungkin antara kita ini berbeza ideologi. Barangkali.

Merujuk kata-kata tersebut, aku terfikir sejenak. Mungkin aku pernah bersikap hipokrit pada diri sendiri agar disukai oleh orang-orang di sekelilingku. Ya. Berlakon menjadi seseorang yang lain serta berbeza perwatakan dengan diriku sebenar. Entahlah. Mungkin dengan cara itu sahaja aku boleh menyenangkan hati semua pihak. Biarlah.

Kadangkala aku terlibat dalam konflik dalam persahabatan. Ya. Konflik yang tidak pernah kupinta. Ianya hadir sendiri tika diri ini menjadi alpa. Menjadi orang tengah apabila pergaduhan yang terjadi antara sahabat-sahabatku. Keliru serta serba salah pasti menguasai diri ini. Langkah yang biasa aku ambil adalah berdiam diri. Mungkin itu bukan cara terbaik. Tetapi sekurang-kurangnya aku tidak menyakiti mana-mana pihak.

“Andaikan kebahagian itu sebagai pelangi. Kita tidak pernah melihat pelangi itu berada atas kepala kita. Tetapi selamanya berada di atas kepala orang lain.”

Aku masih ingat kata-kata ini. Kata-kata yang pernah aku luahkan pada seorang teman pada sesuatu ketika dahulu. Sekadar untuk mententeramkan dirinya yang agak gusar memikirkan masalah percintaannya. Mungkin kata-kata ini boleh dijadikan pegangan ataupun pedoman diriku buat seketika ini.

Lupakanlah Diriku…

Kekecewaan…
Usahlah kamu muncul lagi. Janganlah mencalar keazaman tahun baru ini. Aku tidak larat lagi melayan karenahmu. Pergilah. Carilah insan lain yang lebih sesuai. Rasanya diriku sudah tidak sesuai untuk menjadi perumahmu.


Kesunyian…

Nyahlah kamu dalam hidupku. Aku sudah tidak larat menatap wajahmu. Aku perlukan sesuatu yang baru. Sempena revolusi kehidupanku. Tidak perlulah kamu bertemankan diriku.


Kesedihan…

Pergilah. Bawalah dirimu jauh-jauh dariku. Usahlah medatangi diriku lagi. Aku sudah tidak mampu menjadi teman setiamu. Maafkan aku kerna mengecewakanmu.

Semalam Tanpa Kata-Kata…

Sendiri

Kelu…

Tiada apa yang dapat diluahkan…

Lidah ini bagaikan terkunci…

Hanya tangan ini sahaja…

Yang mampu bergerak…

Setia mencoret apa yang berlaku…

Biarkan aku di sini…

Terus begini menanti…