Arus Melankolik Menyapa Diri…

13 Jun 2008. Hari Jumaat.

Irama bunyi melankolik kembali bergema sekembalinya aku di sini. Tempat yang hampir sama dengan tempat yang aku pernah kunjungi tidak lama dahulu. Terasa seolah-olah irama melankolik ini menguasai segenap pelusuk mindaku ini. Mengasyikkan. Hanya perkataan itu sahaja yang dapat mengambarkan apa yang aku rasakan di saat ini. Belum sempat kaki ini menjejak pasir pantai di Pulau Perhentian, bayu laut telah menyapa lembut pipiku. Terasa benar kelembutan hembusan bayu laut ini. Kelembutannya benar-benar membuatkan aku jadi teruja. Aku berdiri sebentar. Tidak berganjak ke mana-mana. Membiarkan sepasang mata ini memerhatikan keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan. Benarlah kata-kata orang tua. Pantai berubah kerna ombak mendatang. Kulihat persekitaran di sini hampir sama dengan tempat dahulu. Laut membiru tenang. Pasir pantai halus memutih. Ciri-ciri kedua-dua pulau ini hampir sama. Yang membezakannya cumalah sekadar nama serta lokasi kedudukan koordinatnya di muka bumi ini.

Oh ya. Kehadiran aku kali ini juga agak berbeza dengan sebelum ini. Untuk kehadiran kali ini, aku ditemani oleh keluarga. Percutian keluarga yang sudah lama dirancangkan. Kehadiran aku sebelum ini, biasanya hanya bersama rakan-rakan. Satu kelainan buat diriku untuk kali ini. Aku benar-benar menghargai percutian kali ini. Bagiku, ‘masa berkualiti’ seperti ini perlu digunakan sebaik mungkin. Entah bila masa seperti ini boleh diperolehi lagi di masa hadapan. Masing-masing sudah besar panjang. Ada yang sudah berkeluarga. Ada yang sibuk bekerja. Sepertimana diriku. Dan tidak lupa juga, masih ada yang sedang meneruskan pengajian.

Percutian ini benar-benar menghilangkan kesepianku buat seketika. Kadangkala aku terfikir, kesepian yang pernah aku tempuhi selama ini benar-benar mengajar aku untuk lebih menghargai cinta. Aku tersedar. Cinta ini tidak hadir hanya sekali. Mungkin hari ini kita kecewa. Mungkin juga esok kita bahagia. Bahagia apabila bertemu si dia yang diidam-idamkan selama ini.

Huh. Melodarama puitis kembali menerjah diri ini. Aku sedaya upaya tidak mahu berbicara tentang cinta untuk entry kali ini. Namun, aku benar-benar tidak mampu untuk berbuat demikian. Mungkin ketenangan ketika berada di pulau ini yang memangkin semua itu. Ketenangan yang mampu menenggelamkan jiwa sang pencinta yang dahagakan sebuah kasih sayang. Moga-moga ketenangan ini mengiringi kisah perjalanan hidupku di muka bumi Tuhan ini.

Cukuplah coretan melanklolik aku buat kali ini. Maaflah andainya ada yang meluat ataupun termuntah apabila membaca entry kali ini. Hingga berjumpa lagi.

Advertisements

Rintihan Bicara Sang Pencinta…

Peperangan meletus lagi. Tetapi perang kali ini tidak sama seperti dahulu. Untuk kali ini, subsidi minyak petrol terpaksa dihapuskan. Kononnya untuk meringankan bebanan kerajaan. Bebanan kerajaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Jadi kenaikan harga minyak petrol pasti sukar dibendung lagi. Berbeza dengan peperangan dahulu yang hanya melibatkan banyak senjata api dan bahan letupan. Kini ianya benar-benar berbeza.

Dan seperti biasa, aku hanya sekadar mampu duduk termenung sambil menghirup secawan teh panas di kedai kopi. Bagaimana harus aku menempuhi kehidupan yang semakin mencabar di saat ini? Zaman di mana semuanya memerlukan wang. Aku pasti kenaikan harga barangan lain pasti menyusul selepas ini. Yang paling utama, kenaikan harga makanan asasi seperti beras, tepung gandum, minyak masak dan sebagainya.

Aku tahu. Kalian pun pasti tahu. Pelbagai kesan negatif akan timbul dari kenaikan harga makanan asasi ini. Jenayah pasti meningkat. Itu semestinya. Tidak percaya? Tunggu dan lihatlah sendiri.

Ataupun mungkin kita hanya melihat manusia kembali menggunakan haiwan sebagai pengangkutan utama. Kereta lembu dan kuda pasti mendapat tempat di kalangan manusia pada masa hadapan. Ataupun sungai serta laut digunakan secara optimum. Rakit serta perahu pasti memenuhi segenap ruang sungai mahupun laut.

Entahlah. Bilakah semua ini akan berakhir? Hanya Tuhan Maha Mengetahui.