Melewati Susur Masa…

16hb September 2008. Kuala Lumpur. Kunjungan aku ke bandaraya akhirnya terlaksana jua. Sudah lama aku merancang untuk ke sini. Namun, kekangan masa serta kesibukan harian membantut hasrat tersebut. Tujuan ke sini sekadar untuk bertemu sahabat handai yang agak lama tidak bersua muka. Kunjungan ini boleh kuibaratkan sebagai pertemuan untuk mengeratkan silaturahim atau ukhwah yang sudah lama terjalin. Agak ironik tarikh tersebut. Bersempena 45 tahun tarikh pembentukan negara Malaysia yang tercinta ini. Malaysia terbentuk pada 16hb September 1963. Semua ini agak kebetulan sahaja. Memang tidak disengajakan.

Oklah. Lupakan perkara tersebut. Sempena bulan Syawal yang semakin hampir ini, aku mengambil kesempatan yang masih ada untuk menyusun sepuluh jari memohon ribuan kemaafan andainya terkasar bahasa atau menyinggung hati kalian semua sepanjang penulisan blog ini. Sekali lagi aku memohon kemaafan di atas segala kesalahan serta kesilapan yang pernah aku lakukan selama ini sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja.

Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin.

Melankolik Hati Yang Sepi…

Melankolik Hati Yang Sepi…

Andainya kita ditakdirkan
Bertemu kembali
Usahlah dikau
Rebahkan diri
Di atas ranjang kenangan
Kerna aku percaya
Untuk menerangi semula
Tasik ingatan itu
Pasti akan melukakan lagi
Hati yang mula sembuh
Dari luka kepedihan
Bila dipaksa
Menerima erti kecewa

Pabila kita bertemu
Biarlah kita berdepan
Bagaikan teman yang sejati
Mencari tapak
Kekuatan masa kini
Dalam merangka masa depan
Tanpa menoleh kembali
Pada gubuk-gubuk kecewa
Yang sekian lama
Kita tinggalkan
Pada masa silam

~LuccaDJiwa~
09-09-2008, 9.09 pagi


P/s:
Massa Studio. Web portfolio persendirian yang mengumpulkan artwork aku selama ini dalam bidang rekabentuk grafik, web serta fotografi. Andainya kalian ada kelapangan masa, silalah bertandang ke sana. Terima kasih.

Di Senja Kemerdekaan…

Merdeka !

Agak lewat untuk aku memperkatakannya. Biarlah. Bagiku ianya tidak menjadi sebarang masalah kepadaku. Tidak mengapalah andainya ada yang mengatakan diriku ketinggalan zaman. Aku ada hak untuk menulis apa yang aku suka. Tegurlah andainya diriku tersilap langkah. Bimbinglah aku andainya aku terpesong dari jalan yang benar.

Merdeka !

Apakah erti semua itu? Mampukah kita memahami serta menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya? Sejauh manakah pengorbanan kita selama ini untuk negara? Seribu satu persoalan pasti bermain di benak pemikiran masing-masing. Aku tidak berniat untuk memperkecilkan sesiapapun. Nawaituku cuma sekadar untuk menyeru kalian semua agar berfikiran lebih kritis. Lebih dinamik agar seiring dengan anjakan paradigma yang kalian cuba lakukan selama ini.

Merdeka !

Aku tidak mahu berbicara lebih panjang. Cukuplah aku akhiri entri kali ini dengan satu ayat yang sesuai untuk difikirkan bersama.

Moga-moga puteri-puteri di sini, di bumi Malaysia yang barakah ini, bukanlah seperti anggerik kota yang sudah hilang serinya, yang cantik di luar tetapi berongga di dalam.

P/s: Salam Ramadhan buat kalian semua. Moga-moga kita dapat menghayati bulan yang penuh kemuliaan ini. Amin.