Tahun 2009 – Lembaran Sebuah Ceritera Baru

Akhirnya, tahun 2008 melabuhkan tirainya. Terasa begitu pantas masa berlalu. Bagaikan baru semalam tahun 2008 menjelma. Dalam sedar tak sedar, tahun 2009 pula menjengah kita. Huh. Pelbagai peristiwa serta kenangan terpalit dalam memori ini. Pahit. Manis. Hampir semua aku rasai dalam mengerti erti sebuah kehidupan. Mujurlah keazaman serta ketabahan banyak membantu aku mengharungi asam garam kehidupan yang penuh berliku ini.

Moga-moga tahun 2009 ini menjanjikan sebuah anjakan paradigma dalam kehidupanku ini. Diharapkan agar segala yang kuusahakan selama ini membuahkan hasil yang diingini. Dan mudah-mudahan segala impianku menjadi kenyataan.Semoga rahmat serta limpah kurnia-Nya mengiringi perjalanan hidup yang masih jauh ini. Amin.

P/s : Maaflah kerna lama aku tidak update fotopages ini. Aku sebenarnya baru sahaja bercuti di Pulau Langkawi. Di sini aku sertakan sedikit gambar-gambar yang berjaya aku snap ketika berada di sana. Gambar-gambar lain boleh dilihat di Fotopages Lucca D Jiwa.


Kedinginan Malam Ini…

Cameron Highlands. 11 Julai 2008. Sehari selepas tarikh kelahiranku.

Rosa Pasadena. Casa Dela Rosa. Sekadar menyebut beberapa nama hotel yang terdapat di sini. Bagiku, nama-nama tersebut agak unik walaupun aku tidak memahami maksud sebenarnya. Oh ya. Aku tidak menetap di hotel-hotel tersebut. Yang menjadi pilihan aku di sana hanyalah sekadar hotel budget. Tidak mewah. Cukuplah sekadar untuk menjadi tempat aku berteduh sehari dua. Sesuailah dengan keadaan ekonomi diriku buat masa ini.

Malam sudah hampir dinihari. Namun mataku belum dapat dilelapkan. Mungkin kedinginan yang menusuk hingga sum-sum tulang menjadi penyebabnya. Lantas aku bangkit dari perbaringan. Terdetik di hati untuk membuat teh. Teh Cameron yang cukup terkenal di sini. Sebagai seorang peminat teh, rasa teh di sini benar-benar berbeza dengan teh yang biasa aku minum di tempat lain. Terasa benar kenikmatan serta kesegarannya.

Ya. Cameron Highlands memang sinonim dengan tanaman teh. Begitu jua dengan tanaman kaktus serta strawberry yang menjadi daya tarikan utama pelancong ke sini. Selain itu, terdapat juga buah-buahan yang sukar diperolehi di tanah rendah seperti jagung madu, jambu crystal, tomato cherry, buah cinta serta ubi madu. Rasanya, inilah pertama kali dalam hidupku tersua dengan buah-buahan tersebut. Buah-buahan yang agak pelik bagi diriku. Mungkin tidak pelik bagi kalian semua.

Oklah. Izinkan mata penaku berhenti menuturkan kata-kata di sini. Erk. Silap. Izinkan keyboardku berhenti menaip coretan di sini. Hingga berjumpa lagi di entry seterusnya.

P/s: Selamat Hari Lahir kepada Aishah pada 16 Julai. Moga-moga murah rezeki dan dipanjangkan umur hendak-Nya. Amin.

Arus Melankolik Menyapa Diri…

13 Jun 2008. Hari Jumaat.

Irama bunyi melankolik kembali bergema sekembalinya aku di sini. Tempat yang hampir sama dengan tempat yang aku pernah kunjungi tidak lama dahulu. Terasa seolah-olah irama melankolik ini menguasai segenap pelusuk mindaku ini. Mengasyikkan. Hanya perkataan itu sahaja yang dapat mengambarkan apa yang aku rasakan di saat ini. Belum sempat kaki ini menjejak pasir pantai di Pulau Perhentian, bayu laut telah menyapa lembut pipiku. Terasa benar kelembutan hembusan bayu laut ini. Kelembutannya benar-benar membuatkan aku jadi teruja. Aku berdiri sebentar. Tidak berganjak ke mana-mana. Membiarkan sepasang mata ini memerhatikan keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan. Benarlah kata-kata orang tua. Pantai berubah kerna ombak mendatang. Kulihat persekitaran di sini hampir sama dengan tempat dahulu. Laut membiru tenang. Pasir pantai halus memutih. Ciri-ciri kedua-dua pulau ini hampir sama. Yang membezakannya cumalah sekadar nama serta lokasi kedudukan koordinatnya di muka bumi ini.

Oh ya. Kehadiran aku kali ini juga agak berbeza dengan sebelum ini. Untuk kehadiran kali ini, aku ditemani oleh keluarga. Percutian keluarga yang sudah lama dirancangkan. Kehadiran aku sebelum ini, biasanya hanya bersama rakan-rakan. Satu kelainan buat diriku untuk kali ini. Aku benar-benar menghargai percutian kali ini. Bagiku, ‘masa berkualiti’ seperti ini perlu digunakan sebaik mungkin. Entah bila masa seperti ini boleh diperolehi lagi di masa hadapan. Masing-masing sudah besar panjang. Ada yang sudah berkeluarga. Ada yang sibuk bekerja. Sepertimana diriku. Dan tidak lupa juga, masih ada yang sedang meneruskan pengajian.

Percutian ini benar-benar menghilangkan kesepianku buat seketika. Kadangkala aku terfikir, kesepian yang pernah aku tempuhi selama ini benar-benar mengajar aku untuk lebih menghargai cinta. Aku tersedar. Cinta ini tidak hadir hanya sekali. Mungkin hari ini kita kecewa. Mungkin juga esok kita bahagia. Bahagia apabila bertemu si dia yang diidam-idamkan selama ini.

Huh. Melodarama puitis kembali menerjah diri ini. Aku sedaya upaya tidak mahu berbicara tentang cinta untuk entry kali ini. Namun, aku benar-benar tidak mampu untuk berbuat demikian. Mungkin ketenangan ketika berada di pulau ini yang memangkin semua itu. Ketenangan yang mampu menenggelamkan jiwa sang pencinta yang dahagakan sebuah kasih sayang. Moga-moga ketenangan ini mengiringi kisah perjalanan hidupku di muka bumi Tuhan ini.

Cukuplah coretan melanklolik aku buat kali ini. Maaflah andainya ada yang meluat ataupun termuntah apabila membaca entry kali ini. Hingga berjumpa lagi.

Di Sini Tanpa Bicara…

Daun-daun berguguran memenuhi ruangan tempat letak kereta. Seumpama penyeri kepada persekitaran halaman hospital ini. Setelah berpusing-pusing dua tiga kali, akhirnya aku berjaya menemui tempat meletak kereta. Lantas aku berjalan menyusuri laluan ke wad pesakit. Wad ICU. Tingkat 3. Hospital Sultanah Zanariah, Kuala Terengganu.

Beep. Beep. Hanya itu yang kedengaran. Memecah kesunyian di sini. Bunyi-bunyian dari mesin rawatan. Aku cuba memahami apa yang tertera di skrin mesin-mesin tersebut. Tapi semua itu sukar untuk difahami. Yang jelas kelihatan hanyalah nombor-nombor serta jalur-jalur gelombang tertera pada skrin. Wayar-wayar serta tiub-tiub bersimpang-siur dengan berbagai warna dan susunan. Seolah menjadi hiasan wajib kepada pesakit yang terlantar di atas katil. Kedengaran juga erangan kecil pesakit yang menderita. Aku menjadi sayu. Pilu. Hiba.

Jam menunjukkan 6.55 petang, kurang lima minit untuk pukul 7 malam. Aku terus setia menanti di sini. Biarlah aku bersendirian di sini. Menemani datuk yang masih belum sedar. Kulihat air mata jernih mengalir di pipinya. Pasti berat kesakitan yang dialaminya. Penderitaan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Mungkin sebentar lagi, datanglah sanak-saudara yang lain.

Sebenarnya, aku benci berada di sini. Ianya benar-benar mengingatkan diriku tentang erti kesakitan. Keperitan. Kesunyian. Kesukaran. Dan juga tentang kematian. Bau ubat-ubatan juga memualkan anak tekakku. Mungkin kerna itulah aku tidak gemar ke sini. Entahlah. Aku tidak pasti selama mana keadaan ini akan berterusan. Yang mampu kulakukan hanyalah terus bertawakal kepada-Nya.

P/s: Kepada kalian yang membaca blogku ini, sudilah kiranya mendoakan agar datukku cepat sembuh. Amin.

Menongkah Arus Kehidupan…

Arghh. Hanya jeritan kecil itu sahaja yang mampu aku luahkan. Badan kecil ini tidak mampu menahan heretan kasar oleh wanita tua ini. Aku tidak berdaya. Terasa begitu perit bahagian belakangku. Bajuku hampir koyak. Kerna kesalahan kecil, aku diperlakukan sedemikian. Ya. Kesalahan kerna mengacau adik kecilku bermain dengan anak patungnya. Lantas aku menerima hukuman ini.

Gelap-gelita. Sempit. Itu sahaja yang dapat mengambarkan keadaan reban ayam ini. Aku dikurung di dalam sebuah reban ayam. Terasa begitu hina benar diriku ini. Dikurung bersama-sama haiwan ternakan di atas kesalahan yang tidak disengajakan. Aku tidak mengerti. Bau busuk najis ayam menyelubungi setiap lingkup ruangan reban ayam ini. Bau yang benar-benar memualkan diri ini. Adakah ini salah satu proses pembelajaran. Mampukah hukuman seperti ini meresap lantas mematangkan jiwa ragaku? Entahlah. Aku tidak pasti.

Senyuman sinis adikku masih jelas berlegar-legar di benak fikiran. Senyuman tanda kepuasan tatkala melihat diriku menerima hukuman ini. Huh. Di manakah erti sebuah keadilan? Kenapa aku terus dihukum tanpa adanya budi bicara. Sekurang-kurangnya berilah peluang kepadaku untuk berkata-kata. Cukuplah sepatah dua kata untuk mempertahankan diri sendiri. Serta menegakkan kebenaran yang aku sendiri tidak pasti.

Aku pasrah.

Entry ini adalah secebis memori silam yang tiba-tiba menerjah kancah pemikiranku di saat ini. Memori silam sewaktu aku masih lagi berada dalam dunia kanak-kanak.

Sedamai Rimba Menghijau…

Aku kembali. Kembali memasuki hutan di belakang rumahku. Hutan yang menjadi kawasan permainanku di zaman kanak-kanak. Pohon-pohon Gelam Mas masih banyak kelihatan. Masih seperti dahulu, cuma saiz lilitan yang bertambah besar. Ya. Pohon-pohon itu juga membesar seiring dengan pertambahan usiaku. Dan kehadiran rimbunan semak-samun yang menghijau benar-benar melengkapi ekosistem hutan ini. Saling memerlukan. Pepohon besar menjadi tempat berteduh bagi semak-samun. Manakala rimbunan semak-samun tersebut boleh dianggap sebagai hiasan kepada pepohon yang lebih besar. Bagiku, persekitaran rimba yang menghijau merupakan pemandangan yang sugguh mengasyikkan. Keindahannya mampu membuatkan aku lupa seketika pada keserabutan minda. Tenang. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan ketika itu.

Secara spontan, ingatanku kembali terarah kepada nostalgia zaman kanak-kanak. Zaman yang dipenuhi keriangan dan keseronokan. Zaman di mana aku masih belum mengenal erti ketakutan sepenuhnya. Dan juga tidak mengetahui erti kegagalan dalam sebuah kehidupan. Keluar masuk ke dalam hutan pada ketika itu seolah-olah menjadi rutin harian hidupku. Pada kebiasaannya, aku masuk ke dalam hutan pada waktu petang setelah selesai mengaji Al-Quran di rumah Tok Guru. Aku tidak pernah menghiraukan nasihat ibuku agar tidak masuk ke dalam hutan. Rasanya sudah berbuih-buih ibuku memberi nasihat, namun semuanya aku tidak endah. Mungkin kerna aku seorang anak yang degil. Keras kepala barangkali. Tetapi semua itu cerita lama. Kedegilan tersebut beransur-ansur hilang apabila diri ini memasuki fasa remaja.

Aku masih ingat hingga saat ini. Di hutan inilah, aku mengutip buah gajus bersama teman-temanku. Biji gajus yang diperolehi kemudiannya dibakar sebelum dimakan. Bagiku, rasanya sungguh enak walaupun kadangkala ianya hangus terbakar. Oh. Ada satu lagi aktiviti yang biasa aku lakukan. Aktiviti mengutip buah kemunting. Bersusah-payah masuk jauh ke dalam hutan semata-mata ingin mengutip buah ini. Kembali ke rumah hanyalah setelah seplastik buah kemunting berjaya dikutip. Kadangkala aku gemar meletakkannya ke dalam peti ais sebelum memakannya. Pelik kan? Haha.

Dan satu perkara yang tidak akan kulupakan. Hutan inilah yang menjadi dunia imaginasiku. Aku merasakan seolah-olah aku menjadi raja di hutan ini. Lagak sebagai seorang raja rimba. Semua penghuni tunduk hormat kepada diriku. Kononnya aku mampu berinteraksi dengan haiwan, unggas, pokok, serangga dan segala isi perut rimba ini. Sadis kan? Mungkin kerna aku telalu banyak menonton cerita Tarzan. Hingga terbawa-bawa ke dunia realiti.

Satu lagi kenangan yang tidak bisa kulupakan. Aku pernah terserempak dengan sekumpulan pemuda berjudi di hutan ini. Ketika usia sementah itu, aku sukar mengerti apa yang cuba dilakukan mereka. Bermain daun terup di celah-celah pepohon dalam hutan itu. Hanya beralaskan kertas suratkhabar dan berbumbungkan langit. Bermain dan terus bermain di situ tanpa menghiraukan masa yang berlalu. Alpa. Seolah-olah hilang arah tuju hidup. Tiada matlamat dalam hidup. Entahlah. Biarkanlah mereka dengan dunia mereka sendiri. Aku tidak mahu ambil peduli.

Oh. Ada satu lagi. Di hutan ini, tedapat sebatang anak sungai. Namun, aku tidak pernah berani menghampirinya kerna aku percaya di situ terdapat buaya. Ya. Buaya yang sering diceritakan oleh ayahku. Namun, hingga saat ini aku tidak dapat memastikan kebenaran cerita itu. Lantaklah. Lagipun sungai itu tidaklah bersih sangat. Malah tidak sesuai untuk mandi-manda kerna terdapat pokok-pokok bakau berdiri megah di tebing sungai itu. Jadi, aku membiarkan sahaja misteri kewujudan buaya di sungai tersebut. Pasti misteri itu akan terungkai suatu hari nanti. Biarlah masa yang menentukannya.

Dan satu lagi. Yang terakhir. Aku juga pernah membuat lastik. Kononnya untuk melastik burung-burung yang berterbangan di dalam hutan tersebut. Namun setelah ianya siap, aku tidak pernah menggunakannya. Malah tidak pernah belajar untuk menggunakannya. Entahlah. Mungkin kerna aku tidak sampai hati untuk melastik burung. Seringkali timbul rasa kasihan pada burung-burung yang bebas berterbangan. Mereka terlalu naif untuk diseksa sedemikian rupa. Akhirnya, aku hanya sekadar menyimpan lastik tersebut di dalam laci almari. Membiarkan ia usang dimamah anai-anai.

Tamat.

Kronologi Di Musim Bas Terbalik…

Agak menarik isu yang dipaparkan dalam entry kali ini. Hangat! Begitulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan isu ini. Seringkali isu ini diwar-warkan secara meluas oleh media massa sejak akhir-akhir ini. Salah siapa? Entahlah.

Untuk pengetahuan semua, aku sebenarnya agak sibuk kebelakangan ini. Dan kesempatan untuk meng’update’ blog ini amatlah terhad. Alhamdullilah. Semuanya telah berakhir. Jadi, dapatlah aku berblog seperti sediakala. Harap-harap penjelasan ini dapat menjawab segala pertanyaan serta persoalan yang bersarang di hati sesiapa yang berkenaan.

Sebenarnya, aku mencipta beberapa rekod peribadi di bulan ini. Salah satunya adalah jumlah perjalanan jarak jauh menggunakan bas ekpress. Dan rekod inilah yang cuba aku kaitkan dengan tajuk entry kali ini. Terasa kengerian pada diriku ketika menaiki bas-bas ini. Tapi syukur ke hadrat Ilahi kerana hingga saat ini aku masih bernafas. Alhamdullilah. Di sini aku paparkan waktu-waktu perjalanan aku menaiki bas ekpress.

11 / 08 / 2007 – Trip Ke Singapura (1 Hari)

20 / 08 / 2007 – Menaiki Bas Ke Besut,Terengganu

22 / 08 / 2007 – Menaiki Bas Ke Skudai, Johor Bahru

24 / 08 / 2007 – Menaiki Bas Ke Besut,Terengganu

28 / 08 / 2007 – Menaiki Bas Ke Skudai, Johor Bahru

Tiket Bas

Oklah. Setakat ini dahulu buat kali ini. Berjumpa lagi di entry akan datang. Wassalam.