Di Senja Kemerdekaan…

Merdeka !

Agak lewat untuk aku memperkatakannya. Biarlah. Bagiku ianya tidak menjadi sebarang masalah kepadaku. Tidak mengapalah andainya ada yang mengatakan diriku ketinggalan zaman. Aku ada hak untuk menulis apa yang aku suka. Tegurlah andainya diriku tersilap langkah. Bimbinglah aku andainya aku terpesong dari jalan yang benar.

Merdeka !

Apakah erti semua itu? Mampukah kita memahami serta menghayati erti kemerdekaan yang sebenarnya? Sejauh manakah pengorbanan kita selama ini untuk negara? Seribu satu persoalan pasti bermain di benak pemikiran masing-masing. Aku tidak berniat untuk memperkecilkan sesiapapun. Nawaituku cuma sekadar untuk menyeru kalian semua agar berfikiran lebih kritis. Lebih dinamik agar seiring dengan anjakan paradigma yang kalian cuba lakukan selama ini.

Merdeka !

Aku tidak mahu berbicara lebih panjang. Cukuplah aku akhiri entri kali ini dengan satu ayat yang sesuai untuk difikirkan bersama.

Moga-moga puteri-puteri di sini, di bumi Malaysia yang barakah ini, bukanlah seperti anggerik kota yang sudah hilang serinya, yang cantik di luar tetapi berongga di dalam.

P/s: Salam Ramadhan buat kalian semua. Moga-moga kita dapat menghayati bulan yang penuh kemuliaan ini. Amin.

Beralunnya Ombak Mengusir Kesepian…

Aku gembira. Barangkali untuk seketika. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku dapat merasai erti nikmat kegembiraan. Ya. Agar aku lebih menghargai kehadirannya.

Biarlah aku seketika di sini. Menghirup segala ketenangan yang mungkin hadir untuk tempoh yang singkat. Aku sedar. Segala yang datang tidak akan kekal lama. Yang hidup pasti mati. Yang muda pasti tua. Itulah hakikatnya. Hakikat sebuah lumrah kehidupan duniawi.

Sesudah Badai Melanda…

Alangkah bahagia rasanya diri ini. Badai yang melanda dalam hidupku sudah lama berlalu. Dan tika saat ini, barulah aku menyedari bahawa pilihanku sebelum ini ternyata tepat. Pilihan sama ada untuk terus berada di Johor Bahru atau kembali ke kampung halaman. Sekembalinya ke kampung halaman, diri ini benar-benar terasa aman serta tenteram. Tiada lagi badai ganas yang melanda. Tiada lagi kabus ribut yang mendatang. Semuanya indah-indah belaka. Jikalau adapun, hanyalah sekadar angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup wajah ini.

Sepertimana kata-kata pepatah yang biasa kita dengar. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Dan pengalaman yang aku timba selama ini benar-benar membuktikan kebenaran kata-kata pepatah tersebut. Mungkin pepatah-pepatah lama tecipta melalui pengalaman orang-orang dulu. Ya. Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang. Barangkali pepatah tersebut bertujuan untuk menyampaikan nasihat agar generasi seterusnya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Berdasarkan kepada pengalamanku, terdapat 3 golongan manusia yang boleh kalian klasifikasikan sendiri iaitu:

– Orang yang bijak adalah orang yang belajar dari pengalaman diri sendiri.
– Manakala orang yang lebih bijak adalah orang yang belajar dari pengalaman orang lain.
– Dan orang yang bodoh adalah orang yang tidak belajar apa-apa dari pengalaman diri sendiri @ orang lain.

Ada golongan lain selain yang disenaraikan di atas? Mungkin ada yang tertinggal. Jadi, andainya sesiapa ingin mencelah di sini, aku amat alu-alukan. Ilmu yang baik seharusnya disebar-sebarkan. Bukankah begitu? ‘Sharing is caring’. Kata-kata yang biasa kedengaran. Aku sendiri tidak pasti dari mana asal kata-kata itu. Ah. Pedulikan. Takkanlah kata-kata sebegitu pun ada hakciptanya. Cuba bayangkan andainya semua kata-kata ada hakcipta yang tersendiri. Pasti sukar untuk aku mencoret nukilan atau berkongsi buah fikiran melalui kata-kata di blog ini. Ada sesiapa yang bersetuju? Tidak mengapalah andainya tidak bersetuju. Aku tidak rugi apa-apa. Sekian dahulu untuk coretan kali ini.

Bilakah Segalanya Akan Berakhir…

Dum ! Bunyi letupan kedengaran di mana-mana. Telinga ini seakan-akan sudah lali dengan bunyi sebegitu. Bunyi letupan kuat yang disulami dengan bunyi tembakan senapang. Bingit. Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi ini. Terdetik di hati ini untuk keluar dari tempat ini. Keluar mencari sebuah keamanan. Namun, ke manakah mampu kaki ini melangkah? Aku sedar pasti sukar untuk memohon belas kasihan dari orang yang tidak kukenali. Orang yang tidak kukenali adalah orang asing. Itulah persepsi yang menjadi prinsip hidupku selama ini. Aku tiada halatuju yang jelas. Aku membesar di sini. Bagiku, di sinilah segala-galanya. Di sinilah tempat tumpahnya darahku. Di sini jualah sanak-saudaraku berkumpul. Oh. Itu dahulu. Sebelum peperangan ini berlaku. Kini segalanya sudah tiada. Sudah ramai sanak-saudara yang telah terkorban. Jumlah yang masih hidup pasti dapat dihitung dengan jari-jemari sahaja.

Bosan. Teman-temanku sudah hilang ke mana. Tidak pastilah sama ada masih hidup atau sebaliknya. Aku menyusuri lorong-lorong kecil di sini. Untuk menghilangkan kebosanan diriku ini. Lorong-lorong inilah yang dahulunya menjadi tempat permainanku bersama-sama teman sewaktu kecil. Namun, kini ianya sudah dipenuhi habuk serta debu yang berterbangan. Kemusnahan harta benda dapat dilihat di merata-rata tempat. Kereta-kereta hancur terbakar. Musnah sama sekali. Bangunan tidak berdinding serta rumah tidak beratap menjadi pemandangan biasa di sini. Malah, melihat orang tidur di pinggir-pingir jalan sudah menjadi satu kebiasaan. Sudah menjadi satu lumrah kehidupan di sini. Tidur beratapkan langit. Serta beralaskan kotak-kotak ataupun kertas-kertas suratkhabar. Terasa hidup ini begitu daif. Aku sendiri pun hanya berteduh di celah-celah runtuhan bangunan. Tempias tetap terasa andainya hujan membasahi bumi.

Peperangan benar-benar menjadikan tempat ini sebuah bandar yang mati. Mati dari segala-galanya. Tiada keamanan. Hidup menjadi tidak tenteram. Sentiasa ada kegusaran di hati ini. Malah, ketakutan sentiasa menguasai diri ini. Ajal mungkin tiba secara drastik. Tidak terjangka. Tidak terduga. Di mana-mana sahaja, risiko terkena tembakan tetap ada. Ataupun risiko terkena letupan. Sejauh manakah aku mampu mengelak semua kecelakaan itu? Sampai bila? Hanya takdir yang menentukan segalanya. Aku pasrah. Aku redha andainya terkorban dalam peperangan yang tiada kesudahan ini. Mungkin ini sudah takdir-Nya. Takdir yang tesurat dalam kehidupanku.

Kadangkala, aku berasa ngeri. Ngeri melihat mayat-mayat yang bergelimpangan di sana sini. Sesetengahnya ada yang tidak lengkap. Tiada Kepala. Tiada tangan. Tiada kaki. Perut terburai. Badan terputus dua. Entahlah. Tiada siapa lagi yang ambil peduli. Masing-masing sibuk memikirkan keselamatan diri sendiri. Ya. Apa lagi yang penting di sini jikalau bukan nyawa sendiri. Kehidupan di sini sudah tidak bebas seperti dahulu. Berubah sama sekali. Jalan-jalan yang dahulu berwarna hitam kini diwarnai merah gelap. Merah darah beku. Bau hanyir sudah sebati dengan pancaindera bauku. Bagiku, darah pekat serta bau hanyir sudah menjadi ‘trademark’ di sini.

Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh berada di dunia peperangan ini. Dunia yang penuh kekejaman. Dunia yang penuh kezaliman. Belas kasihan sudah tidak wujud sama sekali di sini. Yang hadir cumalah penderitaan, kematian, kelaparan, kemusnahan, kegelapan serta ketakutan. Aku cuba mengingati bagaimana aku boleh terjebak ke sini. Adakah aku menjejakkan kaki di sini secara tidak sengaja. Ataupun mungkin aku sudah hilang ingatan. Hingga tidak mampu mengingati kenangan silam yang pernah aku alami sebelum ini. Entahlah. Mindaku sudah penat. Penat memikirkan kekabutan yang berlaku di sini. Kekabutan yang bakal berlanjutan untuk tempoh yang lama.

“Hoi, kau tak siap-siap lagi ke? Nak follow aku tak ni?”

Aku tersentak. Suara kuat Amir benar-benar menyedarkan aku dari lamunan. Sepatutnya bukan lamunan. Aku rasa kali ini lebih jauh dari lamunan. Halusinasi? Mungkin ya kerna aku terasa diri ini benar-benar berada di sana. Ianya benar-benar terjadi di hadapan mataku. Atau cuma aku bermimpi di siang hari? Yang pastinya, perkara-perkara tersebut sedang berlaku di dunia ini. Di zaman ini. Tetapi bukanlah di negara ini. Malaysia. Ya Allah. Lindungilah negara ini dari segala malapetaka atau bencana alam. Amin.

Di Lorong Kecil Ini

Di lorong kecil ini,
Aku melihat ribuan insan terkorban,
Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini,
Kelihatan darah beku berwarna merah pekat,
Dan bau hanyir menusuk pancaindera bau ini.

Di lorong kecil ini,
Aku terus berjalan menyusuri,
Memerhati kekejaman serta kezaliman,
Askar-askar yang berwajahkan manusia,
Sedangkan hatinya bertopengkan syaitan.

Di lorong kecil ini,
Kelihatan pemuda memikul senjata di bahu,
Anak-anak kecil sudah pandai memberontak,
Membenci serta mencemuh penjajah,
Yang mencabul kedamaian tempat ini.

Di lorong kecil ini,
Serpihan batu-bata ada di mana-mana,
Habuk-habuk berterbangan,
Menyelimuti runtuhan bangunan,
Akibat kemusnahan besar-besaran.

Di lorong kecil ini,
Aku masih tertanya-tanya,
Bilakah semua ini berakhir,
Biarlah keamanan yang muncul,
Menggantikan hiruk-pikuk yang bermaharajalela.

Di lorong kecil ini,
Saban hari diriku setia menanti,
Kedatangan sebuah erti kedamaian,
Serta kebebasan yang tidak kunjung tiba,
Hanya kepada-Nya aku berserah,
Moga-moga peperangan ini tidak berpanjangan.

~ Lucca D Jiwa ~
6/1/2007

Nota Kaki: Puisi ini adalah kesinambungan puisi aku yang terdahulu. Rujuk sini. Tajuk hampir sama. Cuma olahan tempat serta keadaan yang membezakannya.

Berpuasa Itu Indah…

Sedar-sedar, bulan Ramadhan kembali tiba. Rasanya baru semalam ianya berlalu. Entahlah. Aku dapat rasakan masa kini berlalu dengan pantas. Yupp. Masa itu emas. Dan masa juga tidak akan menunggu kita semua. Jadi, hargailah setiap detik-detik masa yang berlalu. Luangkanlah masa dengan sesuatu yang bermanfaat kepada diri sendiri serta tidak menyusahkan orang lain.

Oklah. Berbalik kepada topik puasa. Aku sedar diriku ini bukanlah baik sangat. Namun, sebagai seorang muslim, aku tidak pernah merasakan puasa ini satu bebanan. Dan aku sedar tentang kewajiban berpuasa di bulan Ramadhan ini. Sempena bulan yang mulia ini, aku amatlah berharap agar diriku dapat berubah ke arah kebaikan. Hijrah. Ataupun ‘anjakan paradigma’ dalam bahasa saintifiknya. Bak kata pepatah, jadikan hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Insyallah. Tiada yang mustahil dalam dunia ini andainya kita rajin berusaha serta bertawakal kepada-Nya.

“Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. “

Andainya dilihat dari sudut pengertiannya, agak mudah kan? Namun, dari segi pengamalannya, tepuk dada dan tanyalah iman sendiri. Adakah iman kita ini sekental tembok keluli waja atau senipis kulit bawang? Entahlah. Siapalah diriku ini untuk menilai iman seseorang. Bagiku, puasa juga merupakan medan latihan kesabaran serta keikhlasan. Dan juga tidak lupa, sifat bertolak ansur sesama sendiri.

Aku Tiada Kepala

“Tiada telinga untuk mendengar perkara-perkara yang tidak elok atau fitnah. Tiada mata untuk melihat maksiat. Tiada mulut untuk menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia dan daripada bertengkar atau bergaduh.”

Begitulah konsep yang aku cuba sampaikan dalam design pada kali ini. Agak sedikit pelik design aku kali ini. Mungkin masih terpengaruh dengan mood ke’lost’an. Sepertimana yang aku katakan pada temanku, “Alaa… Kepala aku layan lost jap.. Tu yang hilang… Nanti lepas sahur… Dia datang balik laa tu…”

Oklah. Selamat berpuasa kepada semua yang sudi membaca blog ini. Sebarang komen yang membina amatlah dialu-alukan. Sekian. Peace !

Antara Manusia , Malaikat & Syaitan …

Manusia – Eh, dah subuh dah?
Malaikat – bangunlah wahai anak Adam, tunaikan solat subuh mu …
Syaitan – Alahhhhhh, kejaplah, ngantuk ini…awal lagi nie?.zzzzzzzz

Manusia – Nak makan, laparlah ??
Malaikat – Wahai Anak Adam, mulakanlah dengan Bismillah…
Syaitan – Ahh, tak payahla… dah lapar ini !! mmm.. sedapnyaaaa? .

Manusia – Hari ni nak pakai apa ye?
Malaikat – Wahai anak Adam, pakailah pakaian yang menutup aurat..
Syaitan – Ehh, panaslah, takde style langsung, nampak kampung!!!

Manusia – Alamak, dah lewat!
Malaikat – Bersegeralah wahai manusia , nanti terlewat ke pejabat..
Syaitan – Ahhh?awal lagi?mmm.. aaahh? suruh si X, punchkanlah?

Teruskan membaca

Segenggam Garam…

Hatimu adalah wadah itu. Perasaanmu adalah tempat itu. Kalbumu adalah tempat kamu menampung segalanya… Ada seorang tua yang bijak.. suatu pagi ia telah didatangi seorang anak muda. Langkahnya longlai… air mukannya hambar resah.. dan lesu.. ia seperti ada masalah. Anak muda itu menumpahkan semua masalahnya. Pak tua yang bijak mendengarkan dengan seksama. Setelah selesai bercerita, tiba-tiba orang tua itu mengambil segenggam garam dan meminta tamunya (anak muda) itu mengambil segelas air. Ditaburkan garam itu kedalam gelas, diaduknya perlahan… “Minumlah dan katakan bagaimana rasanya!” kata Pak Tua itu singkat.. “Puih ….!” Sang tamu meludah ke samping.”

Teruskan membaca