Hingga Saat Ini…

Hingga Saat Ini…

Hingga saat ini,
Aku masih mencari erti,
Erti sebuah cinta sejati,
Yang berlandaskan kejujuran,
Serta disulami keikhlasan yang tulus.

Hingga saat ini,
Hati ini masih tertanya-tanya,
Wujudkah istilah cinta abadi,
Ataupun ianya sekadar ungkapan,
Yang biasa dilafazkan sewenang-wenangnya,
Tanpa ada pengertian mendalam tentangnya.

Hingga saat ini,
Telah beberapa kali hati ini terluka,
Dikecewakan oleh cinta palsu,
Hingga pintu hati ini tertutup,
Untuk menerima kehadiran insan,
Yang bernama wanita.

Namun segalanya berubah,
Hadirmu benar-benar mengubah hidupku,
Merombak segala prinsip hidupku,
Kehadiranmu mengubah persepsiku,
Ternyatalah dikau gadis idaman,
Yang ku nanti-nantikan selama ini.

~Lucca D Jiwa~
Saturday, December 22, 2007, 3:56:26 AM

P/s: Andainya kalian ada masa terluang, silalah lawati Fotopages LuccaDJiwa.

Advertisements

Melankolik Hati Yang Sepi…

Melankolik Hati Yang Sepi…

Andainya kita ditakdirkan
Bertemu kembali
Usahlah dikau
Rebahkan diri
Di atas ranjang kenangan
Kerna aku percaya
Untuk menerangi semula
Tasik ingatan itu
Pasti akan melukakan lagi
Hati yang mula sembuh
Dari luka kepedihan
Bila dipaksa
Menerima erti kecewa

Pabila kita bertemu
Biarlah kita berdepan
Bagaikan teman yang sejati
Mencari tapak
Kekuatan masa kini
Dalam merangka masa depan
Tanpa menoleh kembali
Pada gubuk-gubuk kecewa
Yang sekian lama
Kita tinggalkan
Pada masa silam

~LuccaDJiwa~
09-09-2008, 9.09 pagi


P/s:
Massa Studio. Web portfolio persendirian yang mengumpulkan artwork aku selama ini dalam bidang rekabentuk grafik, web serta fotografi. Andainya kalian ada kelapangan masa, silalah bertandang ke sana. Terima kasih.

Semalam Tanpa Kata-Kata…

Sendiri

Kelu…

Tiada apa yang dapat diluahkan…

Lidah ini bagaikan terkunci…

Hanya tangan ini sahaja…

Yang mampu bergerak…

Setia mencoret apa yang berlaku…

Biarkan aku di sini…

Terus begini menanti…

Bicara Orang Pinggiran…

Di suatu sudut penjuru ini
Aku duduk bersendirian
Seharian masa kuhabiskan
Hanya sekadar untuk merenungi
Cermin usia yang setia menemaniku
Merenung hari-hari yang telah berlalu

Saban hari aku berusaha
Untuk menjadi seseorang
Insan yang kenal erti redha
Menerima segala yang berlaku
Dengan hati yang terbuka
Dalam meniti hari-hari mendatang

Adakalanya keberanian diri ini direntap
Oleh ketakutan yang mendatang
Pabila memikirkan amal ibadat sendiri
Cukupkah dengan apa yang ada
Untuk dijadikan bekalan diri
Dalam menempuhi dunia satu lagi

Entahlah…
Hanya ungkapan itu mampu diluahkan
Kerna aku sendiri tidak pasti
Apa yang bakal terjadi di masa hadapan
Adakah aku terus-terusan begini
Atau berubah secara drastik?
Aku tiada jawapannya
Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui

~ Palie (04.03.2008)

Semalaman Diuliti Mimpi…

Semalam aku bermimpi lagi
Si dia hadir dengan senyuman
Membawa seribu satu sinar harapan
Yang pastinya memikat hati sang arjuna

Kehadirannya di saat itu
Benar-benar menggetarkan jiwa ini
Membawaku ke jalan kebahagiaan
Dan menjauhi erti kedukaan

Terasa sungguh bahagia diri ini
Pabila dirimu sentiasa mendampingiku
Setia bersama walaupun badai melanda
Menyempurnakan kisah suka duka hidupku

Dan hari ini
Barulah aku tersedar
Dari lena yang panjang
Mimpi itu hanya mainan tidur
Yang tercoret dari fantasi minda separa sedar

Kini aku pasrah
Menerima segala ketentuan-Nya
Dengan hati yang terbuka
Sepertimana kata-kata yang sering diungkapkan
Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya

Aku mengerti
Tiada gunanya aku terus menanti
Sesuatu yang tiada kepastian
Biarlah aku bersendirian
Melayani perasaan gundah-gulana ini

Kuharapkan memori indah yang berlalu
Menjadi umpama debu-debu halus
Berterbangan ditiup sang bayu
Agar aku tidak bisa mengingatinya

Lucca D Jiwa
-28/01/2008-

Sesudah Badai Melanda…

Alangkah bahagia rasanya diri ini. Badai yang melanda dalam hidupku sudah lama berlalu. Dan tika saat ini, barulah aku menyedari bahawa pilihanku sebelum ini ternyata tepat. Pilihan sama ada untuk terus berada di Johor Bahru atau kembali ke kampung halaman. Sekembalinya ke kampung halaman, diri ini benar-benar terasa aman serta tenteram. Tiada lagi badai ganas yang melanda. Tiada lagi kabus ribut yang mendatang. Semuanya indah-indah belaka. Jikalau adapun, hanyalah sekadar angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup wajah ini.

Sepertimana kata-kata pepatah yang biasa kita dengar. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Dan pengalaman yang aku timba selama ini benar-benar membuktikan kebenaran kata-kata pepatah tersebut. Mungkin pepatah-pepatah lama tecipta melalui pengalaman orang-orang dulu. Ya. Kalau tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang. Barangkali pepatah tersebut bertujuan untuk menyampaikan nasihat agar generasi seterusnya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Berdasarkan kepada pengalamanku, terdapat 3 golongan manusia yang boleh kalian klasifikasikan sendiri iaitu:

– Orang yang bijak adalah orang yang belajar dari pengalaman diri sendiri.
– Manakala orang yang lebih bijak adalah orang yang belajar dari pengalaman orang lain.
– Dan orang yang bodoh adalah orang yang tidak belajar apa-apa dari pengalaman diri sendiri @ orang lain.

Ada golongan lain selain yang disenaraikan di atas? Mungkin ada yang tertinggal. Jadi, andainya sesiapa ingin mencelah di sini, aku amat alu-alukan. Ilmu yang baik seharusnya disebar-sebarkan. Bukankah begitu? ‘Sharing is caring’. Kata-kata yang biasa kedengaran. Aku sendiri tidak pasti dari mana asal kata-kata itu. Ah. Pedulikan. Takkanlah kata-kata sebegitu pun ada hakciptanya. Cuba bayangkan andainya semua kata-kata ada hakcipta yang tersendiri. Pasti sukar untuk aku mencoret nukilan atau berkongsi buah fikiran melalui kata-kata di blog ini. Ada sesiapa yang bersetuju? Tidak mengapalah andainya tidak bersetuju. Aku tidak rugi apa-apa. Sekian dahulu untuk coretan kali ini.

Bilakah Segalanya Akan Berakhir…

Dum ! Bunyi letupan kedengaran di mana-mana. Telinga ini seakan-akan sudah lali dengan bunyi sebegitu. Bunyi letupan kuat yang disulami dengan bunyi tembakan senapang. Bingit. Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi ini. Terdetik di hati ini untuk keluar dari tempat ini. Keluar mencari sebuah keamanan. Namun, ke manakah mampu kaki ini melangkah? Aku sedar pasti sukar untuk memohon belas kasihan dari orang yang tidak kukenali. Orang yang tidak kukenali adalah orang asing. Itulah persepsi yang menjadi prinsip hidupku selama ini. Aku tiada halatuju yang jelas. Aku membesar di sini. Bagiku, di sinilah segala-galanya. Di sinilah tempat tumpahnya darahku. Di sini jualah sanak-saudaraku berkumpul. Oh. Itu dahulu. Sebelum peperangan ini berlaku. Kini segalanya sudah tiada. Sudah ramai sanak-saudara yang telah terkorban. Jumlah yang masih hidup pasti dapat dihitung dengan jari-jemari sahaja.

Bosan. Teman-temanku sudah hilang ke mana. Tidak pastilah sama ada masih hidup atau sebaliknya. Aku menyusuri lorong-lorong kecil di sini. Untuk menghilangkan kebosanan diriku ini. Lorong-lorong inilah yang dahulunya menjadi tempat permainanku bersama-sama teman sewaktu kecil. Namun, kini ianya sudah dipenuhi habuk serta debu yang berterbangan. Kemusnahan harta benda dapat dilihat di merata-rata tempat. Kereta-kereta hancur terbakar. Musnah sama sekali. Bangunan tidak berdinding serta rumah tidak beratap menjadi pemandangan biasa di sini. Malah, melihat orang tidur di pinggir-pingir jalan sudah menjadi satu kebiasaan. Sudah menjadi satu lumrah kehidupan di sini. Tidur beratapkan langit. Serta beralaskan kotak-kotak ataupun kertas-kertas suratkhabar. Terasa hidup ini begitu daif. Aku sendiri pun hanya berteduh di celah-celah runtuhan bangunan. Tempias tetap terasa andainya hujan membasahi bumi.

Peperangan benar-benar menjadikan tempat ini sebuah bandar yang mati. Mati dari segala-galanya. Tiada keamanan. Hidup menjadi tidak tenteram. Sentiasa ada kegusaran di hati ini. Malah, ketakutan sentiasa menguasai diri ini. Ajal mungkin tiba secara drastik. Tidak terjangka. Tidak terduga. Di mana-mana sahaja, risiko terkena tembakan tetap ada. Ataupun risiko terkena letupan. Sejauh manakah aku mampu mengelak semua kecelakaan itu? Sampai bila? Hanya takdir yang menentukan segalanya. Aku pasrah. Aku redha andainya terkorban dalam peperangan yang tiada kesudahan ini. Mungkin ini sudah takdir-Nya. Takdir yang tesurat dalam kehidupanku.

Kadangkala, aku berasa ngeri. Ngeri melihat mayat-mayat yang bergelimpangan di sana sini. Sesetengahnya ada yang tidak lengkap. Tiada Kepala. Tiada tangan. Tiada kaki. Perut terburai. Badan terputus dua. Entahlah. Tiada siapa lagi yang ambil peduli. Masing-masing sibuk memikirkan keselamatan diri sendiri. Ya. Apa lagi yang penting di sini jikalau bukan nyawa sendiri. Kehidupan di sini sudah tidak bebas seperti dahulu. Berubah sama sekali. Jalan-jalan yang dahulu berwarna hitam kini diwarnai merah gelap. Merah darah beku. Bau hanyir sudah sebati dengan pancaindera bauku. Bagiku, darah pekat serta bau hanyir sudah menjadi ‘trademark’ di sini.

Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh berada di dunia peperangan ini. Dunia yang penuh kekejaman. Dunia yang penuh kezaliman. Belas kasihan sudah tidak wujud sama sekali di sini. Yang hadir cumalah penderitaan, kematian, kelaparan, kemusnahan, kegelapan serta ketakutan. Aku cuba mengingati bagaimana aku boleh terjebak ke sini. Adakah aku menjejakkan kaki di sini secara tidak sengaja. Ataupun mungkin aku sudah hilang ingatan. Hingga tidak mampu mengingati kenangan silam yang pernah aku alami sebelum ini. Entahlah. Mindaku sudah penat. Penat memikirkan kekabutan yang berlaku di sini. Kekabutan yang bakal berlanjutan untuk tempoh yang lama.

“Hoi, kau tak siap-siap lagi ke? Nak follow aku tak ni?”

Aku tersentak. Suara kuat Amir benar-benar menyedarkan aku dari lamunan. Sepatutnya bukan lamunan. Aku rasa kali ini lebih jauh dari lamunan. Halusinasi? Mungkin ya kerna aku terasa diri ini benar-benar berada di sana. Ianya benar-benar terjadi di hadapan mataku. Atau cuma aku bermimpi di siang hari? Yang pastinya, perkara-perkara tersebut sedang berlaku di dunia ini. Di zaman ini. Tetapi bukanlah di negara ini. Malaysia. Ya Allah. Lindungilah negara ini dari segala malapetaka atau bencana alam. Amin.

Di Lorong Kecil Ini

Di lorong kecil ini,
Aku melihat ribuan insan terkorban,
Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini,
Kelihatan darah beku berwarna merah pekat,
Dan bau hanyir menusuk pancaindera bau ini.

Di lorong kecil ini,
Aku terus berjalan menyusuri,
Memerhati kekejaman serta kezaliman,
Askar-askar yang berwajahkan manusia,
Sedangkan hatinya bertopengkan syaitan.

Di lorong kecil ini,
Kelihatan pemuda memikul senjata di bahu,
Anak-anak kecil sudah pandai memberontak,
Membenci serta mencemuh penjajah,
Yang mencabul kedamaian tempat ini.

Di lorong kecil ini,
Serpihan batu-bata ada di mana-mana,
Habuk-habuk berterbangan,
Menyelimuti runtuhan bangunan,
Akibat kemusnahan besar-besaran.

Di lorong kecil ini,
Aku masih tertanya-tanya,
Bilakah semua ini berakhir,
Biarlah keamanan yang muncul,
Menggantikan hiruk-pikuk yang bermaharajalela.

Di lorong kecil ini,
Saban hari diriku setia menanti,
Kedatangan sebuah erti kedamaian,
Serta kebebasan yang tidak kunjung tiba,
Hanya kepada-Nya aku berserah,
Moga-moga peperangan ini tidak berpanjangan.

~ Lucca D Jiwa ~
6/1/2007

Nota Kaki: Puisi ini adalah kesinambungan puisi aku yang terdahulu. Rujuk sini. Tajuk hampir sama. Cuma olahan tempat serta keadaan yang membezakannya.