Perajurit Cinta Malaya…

Bertuah.Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk aku yang dilahirkan di bumi Malaya ini. Aku tetap di sisimu walau apa yang terjadi. Akan kupertahankan sepenuh jiwa raga walaupun ribut badai melanda. Kerna bersama-sama kamulah aku membesar hingga saat ini. Dan kerna kamulah jua yang mencorakkan diriku sepertimana sekarang ini. Di bumi Malaya inilah aku belajar erti kemerdekaan. Erti sebuah kebebasan. Selagi nyawa dikandung badan, pasti aku sanggup berjuang demimu. Sanggup berkorban diri kernamu. Sebagai seorang manusia, aku dididik agar menjadi insan yang berperikemanusiaan. Namun, adakalanya aku tersasar hingga mengabaikan didikan tersebut. Berubah menjadi kejam kerna telalu mementingkan diri sendiri. Terlalu angkuh dengan ego sendiri. Keegoan yang pasti akhirnya memakan diri sendiri.

Advertisements

Beralunnya Ombak Mengusir Kesepian…

Aku gembira. Barangkali untuk seketika. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku dapat merasai erti nikmat kegembiraan. Ya. Agar aku lebih menghargai kehadirannya.

Biarlah aku seketika di sini. Menghirup segala ketenangan yang mungkin hadir untuk tempoh yang singkat. Aku sedar. Segala yang datang tidak akan kekal lama. Yang hidup pasti mati. Yang muda pasti tua. Itulah hakikatnya. Hakikat sebuah lumrah kehidupan duniawi.

Di Sini Tanpa Bicara…

Daun-daun berguguran memenuhi ruangan tempat letak kereta. Seumpama penyeri kepada persekitaran halaman hospital ini. Setelah berpusing-pusing dua tiga kali, akhirnya aku berjaya menemui tempat meletak kereta. Lantas aku berjalan menyusuri laluan ke wad pesakit. Wad ICU. Tingkat 3. Hospital Sultanah Zanariah, Kuala Terengganu.

Beep. Beep. Hanya itu yang kedengaran. Memecah kesunyian di sini. Bunyi-bunyian dari mesin rawatan. Aku cuba memahami apa yang tertera di skrin mesin-mesin tersebut. Tapi semua itu sukar untuk difahami. Yang jelas kelihatan hanyalah nombor-nombor serta jalur-jalur gelombang tertera pada skrin. Wayar-wayar serta tiub-tiub bersimpang-siur dengan berbagai warna dan susunan. Seolah menjadi hiasan wajib kepada pesakit yang terlantar di atas katil. Kedengaran juga erangan kecil pesakit yang menderita. Aku menjadi sayu. Pilu. Hiba.

Jam menunjukkan 6.55 petang, kurang lima minit untuk pukul 7 malam. Aku terus setia menanti di sini. Biarlah aku bersendirian di sini. Menemani datuk yang masih belum sedar. Kulihat air mata jernih mengalir di pipinya. Pasti berat kesakitan yang dialaminya. Penderitaan yang tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Mungkin sebentar lagi, datanglah sanak-saudara yang lain.

Sebenarnya, aku benci berada di sini. Ianya benar-benar mengingatkan diriku tentang erti kesakitan. Keperitan. Kesunyian. Kesukaran. Dan juga tentang kematian. Bau ubat-ubatan juga memualkan anak tekakku. Mungkin kerna itulah aku tidak gemar ke sini. Entahlah. Aku tidak pasti selama mana keadaan ini akan berterusan. Yang mampu kulakukan hanyalah terus bertawakal kepada-Nya.

P/s: Kepada kalian yang membaca blogku ini, sudilah kiranya mendoakan agar datukku cepat sembuh. Amin.

Menongkah Arus Kehidupan…

Arghh. Hanya jeritan kecil itu sahaja yang mampu aku luahkan. Badan kecil ini tidak mampu menahan heretan kasar oleh wanita tua ini. Aku tidak berdaya. Terasa begitu perit bahagian belakangku. Bajuku hampir koyak. Kerna kesalahan kecil, aku diperlakukan sedemikian. Ya. Kesalahan kerna mengacau adik kecilku bermain dengan anak patungnya. Lantas aku menerima hukuman ini.

Gelap-gelita. Sempit. Itu sahaja yang dapat mengambarkan keadaan reban ayam ini. Aku dikurung di dalam sebuah reban ayam. Terasa begitu hina benar diriku ini. Dikurung bersama-sama haiwan ternakan di atas kesalahan yang tidak disengajakan. Aku tidak mengerti. Bau busuk najis ayam menyelubungi setiap lingkup ruangan reban ayam ini. Bau yang benar-benar memualkan diri ini. Adakah ini salah satu proses pembelajaran. Mampukah hukuman seperti ini meresap lantas mematangkan jiwa ragaku? Entahlah. Aku tidak pasti.

Senyuman sinis adikku masih jelas berlegar-legar di benak fikiran. Senyuman tanda kepuasan tatkala melihat diriku menerima hukuman ini. Huh. Di manakah erti sebuah keadilan? Kenapa aku terus dihukum tanpa adanya budi bicara. Sekurang-kurangnya berilah peluang kepadaku untuk berkata-kata. Cukuplah sepatah dua kata untuk mempertahankan diri sendiri. Serta menegakkan kebenaran yang aku sendiri tidak pasti.

Aku pasrah.

Entry ini adalah secebis memori silam yang tiba-tiba menerjah kancah pemikiranku di saat ini. Memori silam sewaktu aku masih lagi berada dalam dunia kanak-kanak.

Antara Kabus Dan Kekabutan…

Genting Highlands

Nyaman. Segar. Begitulah terasa aroma udara yang kuhirup di saat sini. Berada 1700 meter dari paras laut benar-benar mententeramkan jiwa ini. Rasanya sudah lama aku tidak menjejakkan kaki di sini. Adalah dalam 2-3 tahun. Genting Highlands, itulah namanya. Suatu tempat yang juga seringkali digelar sebagai Kota Keriangan. Kulihat persekitarannya masih sama seperti dahulu. Cuma terdapat sedikit pertambahan permainan di Outdoor Theme Park iaitu Flying Coaster.

Jam di tangan menunjukkan pukul 7.oo pagi. Namun, tanda-tanda kemunculan mentari masih samar-samar. Huh. Aku terpaksa bersabar seketika untuk memerhati panaroma mentari terbit dari puncak Banjaran Titiwangsa ini. Entah bila lagi aku berpeluang berbuat demikian andainya aku terlepas peluang kali ini. Mungkin 5 tahun lagi. Atau 10 tahun lagi. Ataupun tidak berpeluang langsung. Lebih 30 minit masa berlalu, barulah peluang itu tiba. Ternyata panorama tersebut mampu membuatkan aku hilang kata-kata. Terpegun seketika pabila melihat keindahan alam ciptaan-Nya.

Setelah puas menikmati keindahan panorama tersebut, aku bergegas ke Galleria Observatory yang terletak di Hotel Genting. Di sini, aku berpeluang mengetahui serba-sedikit sejarah Genting Highlands ini. Genting Highlands juga digelar sebagai Las Vegas Malaysia kerna di sinilah terletaknya kawasan perjudian atau kasino yang terbeasr di Malaysia. First World Hotel pula diiktiraf sebagai hotel terbesar di dunia dengan jumlah bilik sebanyak 6,118. Rekod itu mengatasi rekod MGM Grand Las Vegas yang mempunyai 5,690 bilik.

Aku terus menyusuri denai-denai batuan buatan manusia. Melihat panaroma di sini sungguh mengasyikkan. Hingga tidak menyedari masa yang berlalu. Aku leka seketika. Seolah-olah berada di bumi asing. Hiburan yang tersedia sememangnya mampu membuat insan lemah sepertiku menjadi lalai. Entahlah. Aku cuba kuatkan iman ini agar tidak terjerumus ke jalan yang songsang. Biarlah orang lain dengan cara mereka yang tersendiri. Niatku hanyalah sekadar menikmati udara segar di sini. Udara yang sejuk. Agar minda ini menjadi lebih terbuka. Sekaligus menghindarkan diriku dari menjadi seperti katak di bawah tempurung.

Perjalanan diteruskan tanpa arah tuju yang jelas. Aku membiarkan sahaja diriku mengikut rentak irama kakiku ini. Pelbagai ragam serta kelibat manusia yang dapat kulihat di sini. Ah. Biarkanlah. Pedulikan mereka semua itu. Tidak usahlah mencampuri urusan bukan milik kita. Hati kecilku memberontak. Aku terpaksa akur. Akur dengan pemberontakan hati kecilku. Lantas aku meneruskan perjalanan. Berbekalkan kamera di tangan, aku berjalan berseorangan diri. Peka memerhati keadaan sekeliling. Mencari kawasan-kawasan yang menarik untuk diabadikan dalam foto digital. Timbul sedikit cemburu pabila terserempak dengan pasangan yang cukup romantik. Kegembiraan jelas tergambar di wajah mereka. Seolah-olah dunia ini milik mereka berdua. Terlalu asyik memadu asmara hingga melupakan keadaan sekeliling. Lantaklah. Janji mereka tidak menyusahkan orang lain.

Aah. Cepatnya masa berlalu. Sedar tidak sedar, aku sudah kembali ke kawasan tanah rendah. Terasa panas menyelubungi badanku ini. Barangkali demam akan melanda diriku ini. Perubahan suhu secara mendadak mungkin menjadi faktor ke arah itu. Mungkin jua aku terlalu penat kerna kekurangan tidur yang mencukupi. Nampaknya, setakat ini sahaja coretanku untuk kali ini. Anggaplah entry santai kali ini sebagai selingan untuk entry-entry yang lebih serius selepas ini. Nantikanlah.

Bilakah Segalanya Akan Berakhir…

Dum ! Bunyi letupan kedengaran di mana-mana. Telinga ini seakan-akan sudah lali dengan bunyi sebegitu. Bunyi letupan kuat yang disulami dengan bunyi tembakan senapang. Bingit. Itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan situasi ini. Terdetik di hati ini untuk keluar dari tempat ini. Keluar mencari sebuah keamanan. Namun, ke manakah mampu kaki ini melangkah? Aku sedar pasti sukar untuk memohon belas kasihan dari orang yang tidak kukenali. Orang yang tidak kukenali adalah orang asing. Itulah persepsi yang menjadi prinsip hidupku selama ini. Aku tiada halatuju yang jelas. Aku membesar di sini. Bagiku, di sinilah segala-galanya. Di sinilah tempat tumpahnya darahku. Di sini jualah sanak-saudaraku berkumpul. Oh. Itu dahulu. Sebelum peperangan ini berlaku. Kini segalanya sudah tiada. Sudah ramai sanak-saudara yang telah terkorban. Jumlah yang masih hidup pasti dapat dihitung dengan jari-jemari sahaja.

Bosan. Teman-temanku sudah hilang ke mana. Tidak pastilah sama ada masih hidup atau sebaliknya. Aku menyusuri lorong-lorong kecil di sini. Untuk menghilangkan kebosanan diriku ini. Lorong-lorong inilah yang dahulunya menjadi tempat permainanku bersama-sama teman sewaktu kecil. Namun, kini ianya sudah dipenuhi habuk serta debu yang berterbangan. Kemusnahan harta benda dapat dilihat di merata-rata tempat. Kereta-kereta hancur terbakar. Musnah sama sekali. Bangunan tidak berdinding serta rumah tidak beratap menjadi pemandangan biasa di sini. Malah, melihat orang tidur di pinggir-pingir jalan sudah menjadi satu kebiasaan. Sudah menjadi satu lumrah kehidupan di sini. Tidur beratapkan langit. Serta beralaskan kotak-kotak ataupun kertas-kertas suratkhabar. Terasa hidup ini begitu daif. Aku sendiri pun hanya berteduh di celah-celah runtuhan bangunan. Tempias tetap terasa andainya hujan membasahi bumi.

Peperangan benar-benar menjadikan tempat ini sebuah bandar yang mati. Mati dari segala-galanya. Tiada keamanan. Hidup menjadi tidak tenteram. Sentiasa ada kegusaran di hati ini. Malah, ketakutan sentiasa menguasai diri ini. Ajal mungkin tiba secara drastik. Tidak terjangka. Tidak terduga. Di mana-mana sahaja, risiko terkena tembakan tetap ada. Ataupun risiko terkena letupan. Sejauh manakah aku mampu mengelak semua kecelakaan itu? Sampai bila? Hanya takdir yang menentukan segalanya. Aku pasrah. Aku redha andainya terkorban dalam peperangan yang tiada kesudahan ini. Mungkin ini sudah takdir-Nya. Takdir yang tesurat dalam kehidupanku.

Kadangkala, aku berasa ngeri. Ngeri melihat mayat-mayat yang bergelimpangan di sana sini. Sesetengahnya ada yang tidak lengkap. Tiada Kepala. Tiada tangan. Tiada kaki. Perut terburai. Badan terputus dua. Entahlah. Tiada siapa lagi yang ambil peduli. Masing-masing sibuk memikirkan keselamatan diri sendiri. Ya. Apa lagi yang penting di sini jikalau bukan nyawa sendiri. Kehidupan di sini sudah tidak bebas seperti dahulu. Berubah sama sekali. Jalan-jalan yang dahulu berwarna hitam kini diwarnai merah gelap. Merah darah beku. Bau hanyir sudah sebati dengan pancaindera bauku. Bagiku, darah pekat serta bau hanyir sudah menjadi ‘trademark’ di sini.

Aku sendiri tidak pasti bagaimana aku boleh berada di dunia peperangan ini. Dunia yang penuh kekejaman. Dunia yang penuh kezaliman. Belas kasihan sudah tidak wujud sama sekali di sini. Yang hadir cumalah penderitaan, kematian, kelaparan, kemusnahan, kegelapan serta ketakutan. Aku cuba mengingati bagaimana aku boleh terjebak ke sini. Adakah aku menjejakkan kaki di sini secara tidak sengaja. Ataupun mungkin aku sudah hilang ingatan. Hingga tidak mampu mengingati kenangan silam yang pernah aku alami sebelum ini. Entahlah. Mindaku sudah penat. Penat memikirkan kekabutan yang berlaku di sini. Kekabutan yang bakal berlanjutan untuk tempoh yang lama.

“Hoi, kau tak siap-siap lagi ke? Nak follow aku tak ni?”

Aku tersentak. Suara kuat Amir benar-benar menyedarkan aku dari lamunan. Sepatutnya bukan lamunan. Aku rasa kali ini lebih jauh dari lamunan. Halusinasi? Mungkin ya kerna aku terasa diri ini benar-benar berada di sana. Ianya benar-benar terjadi di hadapan mataku. Atau cuma aku bermimpi di siang hari? Yang pastinya, perkara-perkara tersebut sedang berlaku di dunia ini. Di zaman ini. Tetapi bukanlah di negara ini. Malaysia. Ya Allah. Lindungilah negara ini dari segala malapetaka atau bencana alam. Amin.

Di Lorong Kecil Ini

Di lorong kecil ini,
Aku melihat ribuan insan terkorban,
Mayat-mayat bergelimpangan di sana sini,
Kelihatan darah beku berwarna merah pekat,
Dan bau hanyir menusuk pancaindera bau ini.

Di lorong kecil ini,
Aku terus berjalan menyusuri,
Memerhati kekejaman serta kezaliman,
Askar-askar yang berwajahkan manusia,
Sedangkan hatinya bertopengkan syaitan.

Di lorong kecil ini,
Kelihatan pemuda memikul senjata di bahu,
Anak-anak kecil sudah pandai memberontak,
Membenci serta mencemuh penjajah,
Yang mencabul kedamaian tempat ini.

Di lorong kecil ini,
Serpihan batu-bata ada di mana-mana,
Habuk-habuk berterbangan,
Menyelimuti runtuhan bangunan,
Akibat kemusnahan besar-besaran.

Di lorong kecil ini,
Aku masih tertanya-tanya,
Bilakah semua ini berakhir,
Biarlah keamanan yang muncul,
Menggantikan hiruk-pikuk yang bermaharajalela.

Di lorong kecil ini,
Saban hari diriku setia menanti,
Kedatangan sebuah erti kedamaian,
Serta kebebasan yang tidak kunjung tiba,
Hanya kepada-Nya aku berserah,
Moga-moga peperangan ini tidak berpanjangan.

~ Lucca D Jiwa ~
6/1/2007

Nota Kaki: Puisi ini adalah kesinambungan puisi aku yang terdahulu. Rujuk sini. Tajuk hampir sama. Cuma olahan tempat serta keadaan yang membezakannya.