Kedinginan Malam Ini…

Cameron Highlands. 11 Julai 2008. Sehari selepas tarikh kelahiranku.

Rosa Pasadena. Casa Dela Rosa. Sekadar menyebut beberapa nama hotel yang terdapat di sini. Bagiku, nama-nama tersebut agak unik walaupun aku tidak memahami maksud sebenarnya. Oh ya. Aku tidak menetap di hotel-hotel tersebut. Yang menjadi pilihan aku di sana hanyalah sekadar hotel budget. Tidak mewah. Cukuplah sekadar untuk menjadi tempat aku berteduh sehari dua. Sesuailah dengan keadaan ekonomi diriku buat masa ini.

Malam sudah hampir dinihari. Namun mataku belum dapat dilelapkan. Mungkin kedinginan yang menusuk hingga sum-sum tulang menjadi penyebabnya. Lantas aku bangkit dari perbaringan. Terdetik di hati untuk membuat teh. Teh Cameron yang cukup terkenal di sini. Sebagai seorang peminat teh, rasa teh di sini benar-benar berbeza dengan teh yang biasa aku minum di tempat lain. Terasa benar kenikmatan serta kesegarannya.

Ya. Cameron Highlands memang sinonim dengan tanaman teh. Begitu jua dengan tanaman kaktus serta strawberry yang menjadi daya tarikan utama pelancong ke sini. Selain itu, terdapat juga buah-buahan yang sukar diperolehi di tanah rendah seperti jagung madu, jambu crystal, tomato cherry, buah cinta serta ubi madu. Rasanya, inilah pertama kali dalam hidupku tersua dengan buah-buahan tersebut. Buah-buahan yang agak pelik bagi diriku. Mungkin tidak pelik bagi kalian semua.

Oklah. Izinkan mata penaku berhenti menuturkan kata-kata di sini. Erk. Silap. Izinkan keyboardku berhenti menaip coretan di sini. Hingga berjumpa lagi di entry seterusnya.

P/s: Selamat Hari Lahir kepada Aishah pada 16 Julai. Moga-moga murah rezeki dan dipanjangkan umur hendak-Nya. Amin.

Advertisements

Berbumbungkan Langit, Berlantaikan Bumi…

20 Jun 2008.

Akhirnya, berjaya jua diriku ini menawan puncak Gunung Tebu yang berketinggian 3401 kaki. Hembusan nafas kelegaan jelas terasa. Seakan tidak percaya apabila kaki ini berjaya menjejak langkah di puncak gunung ini. Kepuasan menawan puncak gunung ini ternyata berjaya menghilangkan segala keletihan yang dialami sebelum ini. Keletihan mendaki.

Untuk kali ini, aku tidak mahu berceloteh panjang lebar. Cukuplah sekeping gambar buat tatapan semua. Rasanya ia sudah memadai untuk menghuraikan seribu satu cerita. Bagiku, sekeping gambar lebih baik dari seribu patah perkataan. Oh ya. Hampir terlupa. Sebenarnya Gunung Tebu ini terletak di Besut, Terengganu.

Oklah. Aku berhenti mencoret setakat ini dahulu. Maaflah. Tiada melodrama atau melankolik diselitkan buat masa ini. Lain kali sahajalah.

Noktah.

Mendung Tanpa Sinar Sang Suria…

Jumaat. 9 Mei 2008. Angin bayu bertiup sempoi-sempoi bahasa. Terasa nyaman menyelimuti diri ini. Aku terjaga agak lewat daripada hari biasa. Namun, semua itu tidak mendatangkan sebarang masalah kepadaku. Ya. Di sini, hari Jumaat adalah hari cuti mingguan. Jadi, aku tidak perlu terburu-buru. Tiada apa yang perlu dikerjakan di saat ini.

Setelah selesai mengerjakan solat fardhu Subuh, aku kembali berbaring di atas katil. Niatku sekadar untuk melelapkan mata untuk seketika. Namun, semua itu tidak kesampaian. Tanpa diduga, memori-memori silam kembali menerjah-nerjah benak minda ini. Kenangan manis serta pahit silih berganti seolah-olah memaksa jiwa ini melayani perasaan. Aku cuba kuatkan hati ini agar tidak terus terbuai-buai dengan layanan perasaan yang tiada penghujungnya.

Biarlah memori silam tersimpan dalam benak mindaku sendirian. Cukup sukar untuk aku melupakannya. Kerna bagiku, ianya umpama anugerah kepada diriku agar lebih menjadi matang. Sekurang-kurangnya apa yang telah berlaku di masa lalu mampu menjadi pedoman kepada halatuju hidupku di masa hadapan. Insyallah.

Dumm. Bunyi tingkap kayu yang tertutup ditiup angin benar-benar mengejutkan tidur lenaku. Barulah aku tersedar bahawa sudah agak lama aku terlena. Sedar tidak sedar, jam hampir menunjukkan pukul 12.00 tengahari. Entahlah, badanku terasa agak penat. Mungkin kerna keletihan terlampau. Terlalu banyak aktiviti yang kulakukan sepanjang 2-3 minggu sebelum ini. Di bawah ini, aku senaraikannya secara ringkas.

21-22 April 2008 – Kuala Lumpur (Software KRIM Network)
24-26 April 2008 – Kuala Lumpur
30 April 2008 – Badminton KRIM Network (Kompleks Belia & Sukan, Pasir Panjang)
1 Mei 2008 – Pertandingan Futsal KRIM Network 2008
2 Mei 2008 – Kuantan
3 Mei 2008 – Trip Ke Rantau Panjang & Kota Bharu
5 Mei 2008 – Badminton KRIM Network (Kompleks Belia & Sukan, Pasir Panjang)
7 Mei 2008 – Bowling KRIM Network (TER, Kuala Ibai)
8 Mei 2008 – Badminton KRIM Network (TER, Kuala Ibai)

Oh ya. Aktiviti-aktiviti di atas inilah yang membantutkan penghasilan karya nukilanku di dalam blog ini. Ribuan lafaz kemaafan dipohon daripada kalian yang tertunggu-tunggu untuk membaca nukilan terbaru dalam blog ini.