Beralunnya Ombak Mengusir Kesepian…

Aku gembira. Barangkali untuk seketika. Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya aku dapat merasai erti nikmat kegembiraan. Ya. Agar aku lebih menghargai kehadirannya.

Biarlah aku seketika di sini. Menghirup segala ketenangan yang mungkin hadir untuk tempoh yang singkat. Aku sedar. Segala yang datang tidak akan kekal lama. Yang hidup pasti mati. Yang muda pasti tua. Itulah hakikatnya. Hakikat sebuah lumrah kehidupan duniawi.

Advertisements

Berbumbungkan Langit, Berlantaikan Bumi…

20 Jun 2008.

Akhirnya, berjaya jua diriku ini menawan puncak Gunung Tebu yang berketinggian 3401 kaki. Hembusan nafas kelegaan jelas terasa. Seakan tidak percaya apabila kaki ini berjaya menjejak langkah di puncak gunung ini. Kepuasan menawan puncak gunung ini ternyata berjaya menghilangkan segala keletihan yang dialami sebelum ini. Keletihan mendaki.

Untuk kali ini, aku tidak mahu berceloteh panjang lebar. Cukuplah sekeping gambar buat tatapan semua. Rasanya ia sudah memadai untuk menghuraikan seribu satu cerita. Bagiku, sekeping gambar lebih baik dari seribu patah perkataan. Oh ya. Hampir terlupa. Sebenarnya Gunung Tebu ini terletak di Besut, Terengganu.

Oklah. Aku berhenti mencoret setakat ini dahulu. Maaflah. Tiada melodrama atau melankolik diselitkan buat masa ini. Lain kali sahajalah.

Noktah.