Sebenarnya entry ini aku buat bersempenakan perhimpunan haram satu ketika dahulu. Perhimpunan BERSIH ataupun HINDRAFF. Namun, kemalasan tahap tinggi serta ketandusan idea menyebabkan entry ini tersimpan dalam draf untuk tempoh yang lama. Dan di saat ini, aku rasa entry ini sesuai untuk di’publish’kan untuk tatapan ramai.
Politik? Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa aku cuba mengutarakannya di blog ini. Agak pelik entry kali ini andainya dibandingkan dengan entry aku yang lepas-lepas. Maaflah kupinta andainya entry kali ini lebih berbaur politik. Aku mohon ribuan kemaafan terlebih dahulu andainya ada antara kalian yang tersinggung atau tidak berminat dengan entry kali ini. Aku menulis sekadar untuk suka-suka. Dan tidak pernah terniat di hatiku untuk memaksa orang lain membaca serta bersetuju dengan apa yang aku tulis. Bagiku, politik juga sebahagian dari kehidupan kita. Samada secara sedar ataupun tidak. Jadi, tidak salahlah aku berbicara tentang politik di sini. Berbicara mengenai politik samalah seperti berbicara tentang kehidupan. Tidakkah begitu?
“Politik adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati di korporat, akademik, agama, dan institusi lain.” ~ http://ms.wikipedia.org/wiki/Politik
Itu adalah definasi yang aku perolehi dari Wikipedia. Berdasarkan definisi ini, bolehlah kita simpulkan bahawa politik ini wujud di mana-mana dalam kehidupan seharian kita. Mungkin sesuatu keputusan itu boleh diperolehi secara demokrasi, liberalisme, kapitalisme, anarkisme, komunisme atau sekularisme. Sekadar menyebut beberapa sistem @ ideologi yang biasa didengar. Ya. Dalam kehidupan di muka bumi ini, kita pasti tidak terlepas dari membuat keputusan. Banyak perkara dalam hidup ini memerlukan kita membuat keputusan. Contohnya, membuat keputusan dalam memilih jurusan pengajian di institusi pengajian tinggi. Ataupun membuat keputusan dalam memilih calon pasangan hidup. Itu semua hanya secebis dari keputusan-keputusan yang perlu dibuat semasa kehidupan duniawi yang sementara.
Berbalik kepada skop yang lebih luas. Andainya melibatkan seluruh masyarakat, keputusan yang perlu dibuat pasti lebih sukar. Lebih kritikal jikalau dibandingkan dengan keputusan yang perlu dibuat oleh seorang individu. Contohnya, pilihanraya di negara ini. Sebagaimana yang kita semua ketahui, pilihanraya merupakan proses rakyat membuat keputusan untuk memilih kerajaan. Secara tidak langsung, pilihanrayalah yang bakal menentukan kebangkitan ataupun kejatuhan sesebuah kerajaan. Noktah.
Ok. Lupakan Perhimpunan BERSIH ataupun HINDRAF. Aku tidak ingin memperkatakannya. Cukuplah saluran-saluran yang sedia ada mengulasnya sebelum ini. Entahlah. Aku sendiri merasakan diriku belum cukup matang untuk berhujah panjang lebar mengenai politik. Terlalu mentah barangkali. Lebih ramai manusia di luar sana yang lebih layak membicarakannya berbanding dengan diriku yang masih hingusan ini.
Di sini, ingin aku tegaskan bahawa aku tidak berniat untuk menyokong mana-mana pihak. Tidak kiralah ianya parti pemerintah mahupun parti pembangkang. Bagiku, kedua-duanya ada kelebihan serta kekurangan tersendiri. Aku yakin kalian semua sudah matang serta bijaksana untuk membuat penilaian tersendiri. Masing-masing ada hak serta pendirian sendiri. Aku menulis di sini sekadar meluahkan pandangan dari mata kasarku. Pandangan seorang individu muda yang baru berjinak-jinak untuk mengenali dunia politik.
“Kotoran di baju ketika bermain boleh hilang. Tetapi pengalaman ketika bermain kekal selama-lamanya.”
Yup. Memang benar kata-kata tersebut. Tepat jam 9.00 malam semalam, berakhirlah tugasku sebagai SPR. Bagiku, pengalaman kali pertama menjadi SPR ini benar-benar membuka mataku. Barulah aku sedar tentang semua ketidakbenaran tohmahan yang dilemparkan kepada SPR selama ini. Bagiku, SPR benar-benar telus dalam menjalankan amanah semasa pilihanraya. Terlalu ketat prosedur serta etika yang perlu dituruti. Kadangkala, aku mengganggap sesetengah perkara dalam pilihanraya itu terlalu remeh. Tetapi tidak untuk SPR. Semua perkara yang berkaitan dengan pilihanraya dititikberatkan. Dari proses menyusun tempat pengundian hinggalah proses menghantar kiraan undian.
Berjam-jam aku berada di tempat pengundian. Seawal pukul 6 pagi, aku sudah berada di sana. Membuat persiapan terakhir sebelum proses pengundian yang bermula pda pukul 8 pagi. Pelbagai ragam serta karenah pengundi yang datang mengundi dapat dilihat. Yang paling tidak dapat kulupakan, seorang warga emas yang ingin mengundi untuk kali kedua pada sebelah petang. Mati-mati dia mengaku bahawa dia belum mengundi. Sedangkan seawal 8 pagi dia sudah beratur untuk mengundi. Akhirnya, barulah diketahui bahawa dia sebenarnya mengidap penyakit nyanyuk. Huh. Memang kelam-kabut seketika kerna melayan karenahnya. Banyak lagi kisah-kisah menarik yang tidak tertaip untuk dikongsikan di sini. Cukuplah dengan apa yang telah tertaip sepertimana di atas.
“Cinta ibarat boomerang. Ia datang dan pergi. Namun, mampukah ianya berbuah realiti?”
Erk. Apa kaitan cinta dengan politik sebenarnya? Maaflah. Sebenarnya tiada kaitan pun. Mungkin aku bakal memasuki mood berkasih sayang. Entahlah. Biarlah masa yang menentukan segalanya.